Roketkini.com
GEORGE TOWN: Kerajaan Pulau Pinang membentuk
jawatankuasa khas kesenian bagi mengurus dan menilai kerja seni kreatif,
termasuk lukisan mural di dinding sebagai langkah memenuhi Nilai
Terunggul Sejagat (OUV) yang digariskan, kata Ketua Menteri Lim Guan
Eng.
Jawatankuasa khas tersebut yang dinamakan sebagai ‘Panel
Penilaian Seni Awam’ dan dianggotai pakar dengan latar belakang kesenian
akan bertanggungjawab untuk menilai kesemua lukisan mural serta seni
dinding di sekitar bandaraya George Town.
“Semenjak 2012, lukisan mural telah membantu meningkatkan
nilai George Town sebagai tapak warisan dunia, dalam masa sama
mengalu-alukan pelancong menjiwai gaya hidup bandaraya ini.
“Namun, terdapat beberapa mural di tapak warisan dilukis
tanpa kelulusan tanpa mengekalkan tiga nilai penting OUV,” kata Guan eng
dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya, tiga nilai OUV yang digariskan ialah bahawa
George Town mewakili contoh bagi bandar-bandar dagangan yang mempunyai
pelbagai budaya di Timur dan Asia Tenggara, dijalin oleh sejarah dan
budaya perdagangan di antara orang Melayu, Cina, India dan Eropah.
Nilai kedua menurut garis panduan OUV bahawa George Town
ialah satu bukti hidup warisan kepelbagaian budaya dan tradisi Asia di
mana agama dan budaya besar bertemu dan bandaraya mencerminkan pertemuan
unsur budaya dari tempat lain di Kepulauan Melayu, India, China dan
Eropah sehingga mewujudkan senibina yang unik.
Menurut garis panduan OUV, kewujudan bersama bangunan
penganut pelbagai agama yang berbeza adalah citra dan bukti kemajmukan
keagamaan di Asia.
Menurut Guan Eng, pihaknya sebelum ini menerima aduan
termasuk daripada pengamal media yang memberikan pandangan bahawa
sesetengah lukisan pada dinding kedai di George Town tidak serasi dengan
suasana Geoge Town sebagai status bandaraya warisan dunia UNESCO.
Sebelum ini pelbagai seni dinding berupa mural dan arca
besi di Street Art Penang dihasilkan oleh pelbagai seniman terkenal
dunia, antaranya pelukis terkenal Lithuania Ernest Zacharevic, Louis Gan
(pelukis pekak dan bisu) dan kumpulan pelukis 101LostKittens.
“George Town adalah bandaraya antarabangsa. Maka, lukisan
di sini pun mestilah bertaraf antarabangsa juga,” ujar Guan Eng. –
Roketkini.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan