Rabu, 27 Ogos 2014

Kerja awal lebuh raya Machang-Krai mula esok

MOHD NOR YAHYA 






KOTA BHARU: Selepas kira-kira dua tahun projek lebuh raya rakyat Kota Bharu-Kuala Krai diuar-uarkan, esok kerja-kerja awal akan dimulakan.

Majlis masuk tapak akan diadakan di Bukit Bakar, Machang dirasmikan Menteri Besar, Ustaz Datuk Ahmad Yakub.

Program itu dimulakan dengan solat hajat dan turut diadakan jamuan rakyat.

Manakala hari ini perjanjian usahasama antara Kelkon Sdn Bhd dan AFC Plus Sdn Bhd bagi membina Lebuh raya Machang-Kuala Krai sejauh 30.5 km diadakan di Bilik Gerakan Negeri. (Foto atas)

Hadir sama menyaksikan majlis bersejarah itu Menteri Besar, Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Abdullah dan Pengerusi Jawatankuasa Kerjaraya, Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Maklumat, Datuk Hanifa Ahmad.

Turut hadir Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Kazin Nik Yusof dan Ketua Eksekutif Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan, Dr Wan Zawawi Wan Ismail.

Pada majlis menandatangani perjanjian itu Kelkon Sdn Bhd diwakili pengerusinya Wan Ismail Wan Jusoh, manakala AFC Plus Sdn Bhd diwakili pengerusinya, Laksamana Pertama (B) Datuk Pahlawan Ibrahim Md Jawi.

Projek lebuh raya Kota Bharu-Kuala Krai diusahakan kerajaan negeri selepas diketepikan kerajaan pusat sejak 1986.

Pecah tanah projek berkenaan dilakukan pada akhir Mei 2012 disempurnakan mantan Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Ekoran kesungguhan dilakukan kerajaan negeri, akhirnya pada 1 April lalu Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin melakukan pecah tanah projek Lebuh Raya Kota Bharu-Kuala Krai di Kampung Tiong, Kota Bharu.

Projek di bawah kerajaan persekutuan sejauh 7 km dari Pasir Hor ke Kadok dianggar membabitkan kos hampir RM170 juta. Ia dijangka siap pada April 2017. - HARAKAHDAILY

1 ulasan:

bat8 berkata...

Tuan,

Ini satu lagi tindakan paling cerdik tok lebai Kelantan menyerahkan pembinaan lebuhraya KK-KB kepada UMNO untuk menjerat PAS didalam PRU 14 nanti.

Setelah toklebai-tok lebai ini mencantas tunggak-tunggak kerajaan TGNA, mereka ambil jalan mudah tanpa memikir implikasi politik kepada PAS didalam PRU 14 kepada UMNO/Kerajaan Persekutuan sama seperti tok lebai-tok lebai menyerah segala-galanya hudud Kelantan.

Lebuhraya KK-KB ini dikenali sebagai Lebuhraya Rakyat dibawah kerajaan TGNA. Derma telah dikutip dan rancangan pembiyaannya telah siap dirangka. Bila geng tok lebai ini naik, depa cantas semua orang yang menjadi tulang belakang projek ini hanya kerana dendam peribadi.Rakyat Kelantan khasnya dan malaysia amnya begitu teruja dengan inisiatif TGNA ni.

Isu lebuhraya KK-KB akan menjadi isu p3mbunuh PAS di Kelantan yang akan digunakan oleh UMNO untuk menunjukkan ketidakmampuan PAS memerintah. Lunyai Nik Amar dan Ahmad Yaakub kena belasah nanti.

Cukuplah isu Lebuhraya KK-KB dan isu penyerahan hudud Kelantan kepada UMNO/ Kerajaan Persekutuan oleh Nik Amar/Ahmad Yaakob untuk UMNO menghancurkan kerajaan PAS Kelantan sekarang didalam PRU 14 nanti. Aku gerenti Nik Amar/ Ahmad Yaakob akan menjadi bisu dan kelu untuk m3njawab kempen UMNO mengenai 2 isu ini.

Dengan jatuhnya kerajaan PAS Kelantan, maka completelah kerja UMNO untuk menhancurkan PAS sebagai saingan politik. Tanda-tanda kejatuhan PAS begitu glaring dimata rakyat Kelantan.