KUCHING: Lima lelaki termasuk empat remaja ditahan kerana disyaki
terlibat bertindak agresif merusuh di Stadium Negeri di Petra Jaya di
sini sehingga mencederakan lima anggota polis dan merosakkan tujuh
kenderaan rasmi mereka malam tadi.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kuching (Operasi), Supt. Fauzilan Abdul
Aziz mengesahkan penangkapan itu hari ini yang membabitkan empat remaja
berumur di antara 17 dan 18 tahun, serta seorang lelaki berumur 20
tahun.
Menurutnya, kejadian bermula kira-kira pukul 11 malam tadi selepas
selesainya perlawanan bola sepak Piala Malaysia di antara pasukan
Sarawak dan Perak di stadium itu.
Kira-kira 2,000 orang penonton memasuki padang perlawanan sebelum
mereka membakar suar dan mercun, selain melontar objek ke arah anggota
polis yang bertugas namun dapat dileraikan dalam tempoh 30 minit selepas
itu.
Bagaimanapun, situasi tegang timbul kembali di luar stadium apabila
sekumpulan lelaki bertindak merosakkan sebuah trak, tiga unit kereta
jenis Perodua Kancil, sebuah kereta jenis Proton Waja dan sebuah van
jenis Toyota yang kesemuanya milik polis.
Perusuh-perusuh yang terlibat seterusnya membakar sebuah kenderaan
pacuan empat roda polis jenis Perodua Kembara sehingga rosak
keseluruhannya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan