KL TODAY
THE HAGUE –
Urusan membawa keluar satu lagi jenazah warga Malaysia mangsa tragedi
MH17 dari Kem Perubatan Tentera Hilversum dekat sini, akan bermula
esok. Sumber berkata jenazah lelaki Islam itu dikenal pasti identitinya
pada Jumaat lepas, namun proses membawa keluar hanya akan bermula esok
kerana urusan pentadbiran dan formaliti tidak dijalankan pada hujung
minggu.
“Kita
akan cuba melalui proses membawa keluar pada Isnin. Kebiasaannya
proses mengambil masa beberapa hari kerana banyak prosedur dan
dokumentasi perlu dilakukan,” katanya kepada Bernama.
Menurut
Prosedur Operasi Standard, sebaik sahaja dikenal pasti jenazah adalah
milik sesebuah negara sewaktu proses pengecaman dan identiti mangsa di
Kem Perubatan Tentera Hilversum, jenazah kemudian perlu melalui lima
proses penting.
Ini
antaranya melibatkan proses mendapatkan sijil kematian, sijil
perubatan, laporan bencana, permit kebenaran penghantaran jenazah dan
surat persetujuan pegawai pendakwa raya Belanda bagi jenazah dikebumi
atau dibakar.
Selesainya
proses itu, jenazah kemudian dipindahkan ke rumah mayat Monuta
Innemee, S-Gravenhage di sini, kira-kira 90km dari Hilversum untuk
menjalani pengurusan jenazah mengikut kepercayaan agama masing-masing.
Sumber itu
turut tidak menolak kemungkinan ada beberapa lagi jenazah akan
diuruskan untuk dibawa balik serentak dengan jenazah lelaki itu bagi
kumpulan ketiga namun enggan mengulas lanjut.
Sementara
itu, seorang anggota keluarga kepada jenazah lelaki itu yang enggan
dikenali berkata pihaknya bersyukur kerana jenazah anggota keluarga
mereka telah dikenal pasti dan berharap dapat membawa pulang secepat
mungkin.
Pada
Jumaat, kumpulan pertama 20 jenazah yang melibatkan 11 penumpang dan
sembilan anak kapal dibawa pulang dari Amsterdam dengan sebuah pesawat
khas dan hari ini, kumpulan kedua melibatkan tiga mangsa tragedi itu
tiba di tanah air.
Penerbangan
MH17, yang membawa 289 penumpang termasuk 15 anak kapal, dalam
perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur ketika terhempas di timur
Ukraine, pada 17 Julai lepas.
Ia dipercayai ditembak jatuh namun sehingga kini tiada pihak mengaku bertanggungjawab.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan