Ahad, 31 Ogos 2014

'Jawatan pemimpin usah diminta'


Oleh Zamanuddin Jusoh


Antara tuntutan utama dalam agama adalah menunaikan amanah yang telah dipertanggungjawabkan kepada kita dan pengabaian terhadap tuntutan itu akan memberi implikasi besar. Penyebab utama kepada kerosakan umat akibat pengabaian manusia terhadap amanah khususnya amanah kepemimpinan.

Kepemimpinan amanah yang amat penting kerana ia berkait dengan urusan sesama manusia. Di sinilah bermulanya proses ujian terhadap mereka yang diamanahkan sebagai pemimpin sama ada terus berada pada landasan agama atau sebaliknya.

Amanah ini menitikberatkan urusan perintah dan larangan Allah SWT serta sejauh manakah komitmen seorang pemimpin terhadap amanah itu. Kita akan dapat menilai sesebuah kepemimpinan melalui timbangan neraca Allah SWT bagi memastikan keberkatan sesebuah kepimpinan. Jujur atau ikut nafsu

Firman Allah SWT yang bermaksud: "Acuan Allah SWT dan siapakah yang lebih baik daripada acuan Allah? Dan kepada-Nyalah kami menyembah." (Surah al-Baqarah, ayat 138) Oleh itu, apabila kepemimpinan jauh daripada hidayah Allah SWT, maka akan terlihat kepincangan dan terserlah wajah sebenar seseorang sama ada mereka benar-benar jujur atau sekadar memenuhi tuntutan nafsu semata-mata.

Firman Allah SWT yang bermaksud: "Sesiapa yang menyimpang daripada jalan-Ku, dia akan menghadapi kehidupan yang pincang dan sempit. Maka Kami akan mengumpulkan mereka pada hari kiamat dalam keadaan buta. Dia berkata: Ya Tuhanku, mengapa Engkau kumpulkan kami dalam keadaan buta, padahal aku dulu (di dunia) dapat melihat. Allah berfirman: Demikianlah kamu dilupakan sebagaimana kamu telah melupakan ayat-ayat Kami dahulu." (Surah Tahaa, ayat 124-126)

Ulama berbeza pendapat mengenai maksud buta dalam ayat di atas, apakah buta hati atau buta mata? Pendapat terbanyak adalah buta penglihatan sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud :
"Barang siapa yang diberi petunjuk oleh Allah, maka dialah yang mendapat petunjuk. Dan barang siapa yang Dia sesatkan, maka sekali-kali dia tidak akan mendapat penolong bagi mereka selain dari Dia. Kami akan mengumpulkan mereka pada hari kiamat (diseret) atas muka mereka dalam keadaan buta, bisu dan tuli." (Surah al-lsraa, ayat 97)

Kepemimpinan adalah suatu amanah yang besar serta menjadi kewajipan untuk melaksanakannya. Baginda SAW mengingatkan sahabat untuk menjauhi sesuatu jawatan pada tampuk pemerintahan kerana bebanan besar yang akan ditanggungnya pada hari kiamat.

Baginda SAW pernah menasihati Abu Zarr yang memohon jawatan: "Wahai Abu zarr, engkau tidak mampu sedangkan jawatan adalah amanah. Ia adalah penghinaan dan penyesalan di hari kiamat melainkan mereka yang menguruskannya dengan cara yang betul." (Riwayat Muslim)
Simbol cinta dunia

Ini menjelaskan beratnya tanggungjawab sesuatu jawatan yang disandang sedangkan manusia beranggapan ia satu penghormatan dan peluang keemasan. Realitinya, percaturan untuk menjadi pemimpin adalah simbol cinta dunia yang keterlaluan.

Masing-masing ghairah dan bercita-cita kepada habuan serta imbuhan yang akan diperoleh. Pihak yang sedia berada di persada kepemimpinan pula sedaya upaya mempertahankan kedudukan kerana terlalu sayangkan keistimewaan dikecapi tanpa memikirkan risiko berhadapan Allah SWT di hari kemudian.

Sabda Rasulullah SAW: "Sesungguhnya kalian nanti akan sangat bercita-cita menjadi pemimpin, padahal kelak di hari kiamat ia akan menjadi penyesalan." (Riwayat Bukhari)

Sejarah membuktikan Baginda SAW tidak pernah melayan permintaan sahabat terhadap sesuatu jawatan. Justeru, sebaik-baik pemimpin adalah mereka yang diminta untuk menguruskan urusan masyarakat bukannya mereka yang menawarkan dirinya untuk menjadi pemimpin.

Baginda juga pernah menasihati dua sahabat melalui satu riwayat seorang sahabat berkata: "Aku dan dua orang lelaki dari kaumku telah masuk kepada Nabi SAW. Salah seorang daripada dua lelaki berkenaan berkata: Lantiklah kami menjadi ketua wahai Rasulullah. Seorang lagi juga berkata demikian. Lalu baginda bersabda: Sesungguhnya kami tidak melantik dalam urusan ini sesiapa yang memintanya atau bercita-cita untuk mendapatkannya." (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Larangan minta jawatan

Jelas bahawa mereka yang meminta jawatan tidak akan mendapat pertolongan manusia dan bantuan daripada Allah SWT kecuali mereka yang diminta untuk memimpin. Jaminan ini telah digambarkan oleh Baginda SAW.

Baginda SAW menasihati sahabatnya, Abd Rahman Samurah: "Wahai Abd Rahman, jangan engkau meminta jawatan pemimpin. Sesungguhnya jika engkau diberikannya dengan permintaan maka engkau akan ditinggalkan dan tidak akan dibantu dan jika engkau diberikannya tanpa permintaan maka engkau akan dibantu dan mendapat pertolongan."

Allah SWT memberi tanggungjawab yang berat kepada pemimpin sebagai satu amanah bagi membawa golongan yang dipimpin mencapai kesejahteraan hidup di dunia dan akhirat. Semakin tinggi jawatan kepemimpinan yang disandang, semakin banyaklah tanggungjawab mesti dilunaskan.

Hanya keimanan menjadi penyelamat dan mereka yang beriman saja dijanjikan sebagai pewaris kepada kekuasaan di atas muka bumi. Firman Allah SWT yang bermaksud: "Allah SWT menjanjikan kepada orang yang beriman dan beramal salih di kalangan kamu, bahawa Dia akan menjadikan mereka sebagai khalifah yang memegang kuasa pemerintahan di bumi, seperti mana Dia telah menjadikan orang sebelum mereka selaku khalifah yang berkuasa." (Surah an-Nur, ayat 55)
Syarat raih keberkatan

Inilah syarat utama yang diletakkan oleh Allah SWT untuk memegang tampuk pemerintahan bagi meraih keberkatan daripada Allah SWT. Kefahaman terhadap kehendak agama dan rakyat adalah antara syarat kepemimpinan yang baik sekali gus melengkapkan mereka sebagai pemimpin sebenar.

Mereka mestilah berusaha menunaikan tanggungjawab manakala rakyat pula mesti taat dan bekerjasama menjayakan sebarang usaha bagi meningkatkan kesejahteraan dalam kehidupan serta kecemerlangan di masa hadapan.

Imam al-Ghazali juga menegaskan: "Kekuasaan dan agama adalah anak kembar. Agama adalah dasar dan kekuasaan adalah penjaga." (Ihya Ulumuddin)

Rasulullah SAW bersabda: "Barang siapa melantik seseorang sebagai pemimpin atau pegawai di dalam sebuah kumpulan sedangkan masih ada di kalangan mereka orang yang lebih layak, orang yang lebih disukai Allah SWT daripadanya maka sesungguhnya dia telah mengkhianati Allah SWT dan Rasul-Nya dan mengkhianati orang yang beriman."

Tiada ulasan: