MALAYSIAKINI
Penjelasan terkini Pejabat Perdana Menteri (PMO) berhubung
penggunaan Akta Hasutan 1948 hanya menunjukkan kerajaan sedia ada
“paling huru-hara” dalam sejarah pentadbiran Malaysia, kata DAP.
Ketua anggota parlimen parti itu Lim Kit Siang berkata, kenyataan itu
menunjukkan pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, berlaku
“satu pihak tidak tahu menahu apa yang dilakukan pihak lain”.
“Tiada perdana menteri yang berwibawa di satu sisi menjanjikan Malaysia
menjadi 'negara demokrasi terbaik di dunia' tetapi di sisi yang lain
membenarkan peguam negara melancarkan siri pendakwaan terhadap pemimpin
pembangkang, yang sebenarnya hanya berlaku di negeri demokrasi terburuk
di dunia,” katanya.
Lim juga mempersoalkan kenapa kenyataan itu dikeluarkan tanpa menyatakan nama individu secara khusus.
PMO semalam menafikan dakwaan bahawa kerajaan menjalankan pendakwaan
terpilih menggunakan Akta Hasutan untuk mendakwa barisan pemimpin
Pakatan Rakyat.
Menurut kenyataannya, sebarang pertuduhan mengikut akta itu ditangani
mahkamah dan badan kehakiman Malaysia bebas, seperti boleh dilihat dalam
keputusan banyak kes sebelum ini.
Ia
turut memaklumkan, sehingga kerajaan membentangkan Rang Undang-undang
Keharmonian Nasiona menjelang 2015, kes sedia ada perlu dibicarakan
bawah undang-undang sedia ada.
Sementara itu, pakar perlembagaan Dr Abdul Aziz Bari (kanan) pula berkata, tindakan PMO menuding perkara itu kepada mahkamah sebagai salah.
Katanya, siasatan dan pendakwaan berada bawah bidang kuasa eksekutif dan bukan kehakiman.
Pada minggu ini sahaja, sekurang-kurangnya empat orang pemimpin Pakatan didakwa mengikut Akta Hasutan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan