Friday, May 9, 2014

Tindakan disiplin pelajar UiTM kritik GST, transfomasi Najib gagal

Nik NazmiKEADILAN DAILY


Saya amat prihatin dengan laporan bahawa seorang mahasiswa UiTM Sabah, Mohd Fathihie Gadius, berhadapan tindakan disiplin di atas tulisan Facebooknya mengenai Cukai Barangan dan Perkhidmatan(GST).

Mohd Fathihie menerima surat bertarikh 28 April yang menuduh beliau melanggar Akta Institusi-Institusi Pelajaran (Tatatertib) 1976 kerana membuat kenyataan awam dengan menggunakan laman sosial Facebook yang boleh menggalakkan perbuatan melanggar tatertib, kekacauan, keengkaran atau pelanggaran terhadap Kaedah-Kaedah Institusi Pelajaran (Tatatertib) 1976 di kalangan pelajar UiTM cawangan Sabah menerusi beberapa tulisan daripada Oktober 2013 – Januari 2014.

Jika didapati bersalah, Mohd Fatihie boleh digantung daripada universiti dan dihalang masuk kampus.

Ini satu lagi bukti betapa kurangnya kebebasan akademik di IPT-IPT Malaysia.

Bukankah tidak lama dahulu Perdana Menteri Najib Razak berjanji meminda Akta Universiti dan Universiti Kolej Universiti (AUKU) 1971, dengan menyatakan bahawa pentadbirannya “yakin dengan kebolehan mahasiswa untuk menjadi warganegara yang bertanggungjawab dan berfikiran matang.”?

uitm

Malangnya insiden terbaru ini di mana seorang mahasiswa yang berfikiran bebas telah ditekan menunjukkan betapa kosongnya janji ini – seperti usaha-usaha ‘transformasi’ gagal Najib yang lainnya.

Ini suatu pencabulan pemikiran yang waras dan hak asasi manusia.

Mahasiswa-mahasiswa ini adalah rakyat Malaysia dan berhak menyuarakan pandangan mereka tentang isu-isu penting awam-termasuk GST.

IPT-IPT kita sepatutnya bangga dengan mahasiswa seperti Mohd Fathihie, yang mampu dan tidak gentar mempersoalkan dasar-dasar dengan berani. UiTM, sebagai institusi yang diasaskan untuk menggalakkan pendidikan bagi masyarakat Bumiputera sepatutnya berbangga dengan mahasiswa-mahasiswa Bumiputera yang menunjukkan kebebasan intelektual.

Tindakan yang dikenakan terhadapnya jelas membuktikan ada masalah besar dengan sistem pendidikan tinggi kita.

Cubaan IPT-IPT untuk menyekat kebabasan berfikir dan bersuara menyumbang kepada kedudukan dan reputasi menyedihkan IPT-IPT kita.

Nampaknya pihak pengurusan UiTM tiada masalah untuk kampus mereka digunakan sebagai platform politik UMNO-BN mahupun wacana perkauman tetapi tidak membenarkan mahasiswa mereka mempunyai pandangan dalam isu-isu penting membabitkan masa depan ekonomi negara.

Apatah lagi golongan bawah 40 peratus – yang sebahagian besarnya masyarakat Melayu dan Bumiputera – yang akan terjejas paling teruk dengan cukai-cukai regresif seperti GST.

Rakyat Malaysia, terutamanya orang Melayu dan Bumiputera – mestilah bertanya sama ada kepentingan mereka dan minda generasi muda kita dijaga dengan pendekatan sebegini.

UiTM dan Kementerian Pendidikan perlu menjawab kepada rakyat Malaysia mengenai insiden mendukacitakan ini.

NIK NAZMI NIK AHMAD
TIMBALAN SPEAKER DEWAN UNDANGAN NEGERI SELANGOR
AHLI DEWAN UNDANGAN NEGERI SERI SETIA

No comments: