ALOR SETAR - Hanya satu aduan dakwaan penipuan undi berlaku dalam proses pemilihan PKR dilapor setakat semalam iaitu di cabang Batang Sadong, Sarawak.
Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan (JPP) PKR Datuk Johari Abdul berkata, tiada aduan diterima daripada mana-mana cabang di Kedah menyatakan rasa tidak puas hati terhadap proses pemilihan yang berlangsung semalam.
“Saya tidak terima aduan secara rasmi dari Kedah. Jika ada aduan sama ada menerusi telefon atau surat, siasatan akan dibuat segera. Contohnya, di Batang Sadong, siasatan dibuat selepas terima aduan dan keputusannya dibatalkan,” katanya.
Menurutnya, calon atau wakilnya yang tidak berpuas hati terhadap pemilihan perlu tampil membuat aduan secara rasmi kerana cakap-cakap di belakang tabir terutama menerusi laman sosial tidak boleh dijadikan rujukan.
“Jika tiada aduan, macam mana nak siasat. Jika calon percaya wujud penipuan, pintu aduan sentiasa dibuka dan kita akan siasat. Namun jika sebaliknya, wujud fitnah maka orang terbabit akan dikenakan tindakan disiplin termasuk digantung keahlian,” katanya.
Johari yang juga penyandang Pengerusi PKR Kedah berkata, ahli parti termasuk pihak luar tidak wajar merujuk laman sosial seperti facebook, whatsapp atau SMS yang menyebarkan maklumat tidak tepat.
“Cerita yang tidak enak berhubung proses pemilihan disebar melalui laman sosial, dikesan hampir ratusan kes. Namun hanya satu aduan diterima JPP. Saya akan pastikan pemilihan kali ini ikut prosedur,” katanya.
Mengulas mengenai dakwaan wujud kekecohan ketika proses pemilihan di cabang Sungai Petani bagi pengundian jawatan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) berikutan seorang calon, Arvind Kumar mendakwa namanya tiada dalam kertas undi sewaktu tiba di pusat pengundian Dewan Orang Ramai, Taman Sri Wang, sehingga berlaku protes di luar dewan, Johari berkata, perkara itu diselesaikan secara aman dan pemilihan ditangguh.
“Ia hanya masalah teknikal. Pencalonan Arvind ditolak kerana dia tak layak dan sudah membuat rayuan namun lewat sampai kepada saya. Ketika itu Simon diumum menang tanpa bertanding, namun setelah Arvind tunjukkan bukti surat rayuan, saya setuju tangguh dan dia boleh bertanding semula,” katanya.
Mengenai pemilihan 2014, Johari berkata, terdapat 198 cabang daripada 222 kawasan Parlimen, yang menyaksikan 10,000 bertanding untuk merebut jawatan di semua peringkat, bermula dari cabang sehingga kepimpinan tertinggi.
“Pemilihan bermula pada 29 April hingga 11 Mei ini. Ini merupakan satu tempoh yang singkat dan sudah pasti wujud beberapa masalah teknikal ketika proses pemilihan berlangsung,” katanya.
Menurutnya, PKR satu-satunya parti yang mengadakan pemilihan secara langsung tanpa menggunakan undi perwakilan.
"Kita mempunyai hampir setengah juta ahli termasuk di Sabah dan Sarawak. Faktor jarak antara kawasan pemilihan terutama di Sabah dan Sarawak antara kekangan dalam melancarkan tugas, namun kita cuba sedaya upaya melancarkannya,” katanya.
No comments:
Post a Comment