Monday, May 5, 2014

Kedudukan hukum hudud sama dengan MH370

MSO

Hari ini kita jadi pening kepala kerana banyak memikir soal hukum hudud. Macam-macam kenyataan dan ulasan mengenai hudud termasuk ada yang menceritakan sejarah bermula hukum hudud. Saking banyaknya perbualan menyebabkan hudud jadi macam pesawat MH370 yang hilang. Dunia aviation yang kita tidak tahu sebelum ini, menjadikan kita tahu sedikit sebanyak. Elok juga.


Hukuman sebat ke atas pesalah hudud di Aceh. 
Sejak MH370 ghaib kita tahu soal-soal teknikal mengenai pesawat. Tahu bagaimana sebuah pesawat itu dioperasi. Tahu macam mana pesawat itu dikawal menerusi radar. Tahu juga berapa banyak radar yang merakam perjalanan sesuatu pesawat atau ketika pesawat di udara.

Ekoran kehilangan pesawat MH370 kita juga mendengar berbagai teori untuk mengesan dan meramalkan apakah terjadi kepada pesawat berkenaan. Begitu juga dengan orang bercakap mengenai dunia aviaiton dan mengenai kehilangan itu termasuklah mereka yang tidak memahami dan jahil mengenai tentangnya ikut sama bercakap.

Paling anih lagi, sampai bomoh pun turut sama mengambil bahagian melakukan perkara-perkara bidaah dan tahayul untuk ikut sama berpartisipasi mencari kapal terbang yang hilang itu. Dan diri kita juga berpeluang untuk mengemukakan teori kita sendiri bagi meramal ke mana dan apa yang terjadi kepada 239 penumpang bersama anak kapal MH370.

Nah, begitu juga dengan isu hukum hudud hari ini, semua orang bercakap dan menyentuhnya. Golongan agama, pakar perlembagaan, bekas hakim, lebai kampung dan sebagainya ikut sama bercakap. Sudah semestinya orang politik tidak kering ketinggalan. Bukan sahaja pemimpin Pas, pemimpin Umno, juga bercakap. Lagi anihnya pemimpin MCA, Gerakan, DAP juga bercakap. Bahkan Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) juga ikut sama bercakap.

Setakat ini hanya tukang potong daging sahaja yang namanya diheret sama belum bersuara. Mungkin esok lusa akan ada mana-mana pusat penyembelihan memberi komen mengenai hudud. Al hasilnya hudud yang serius sudah jadi main-main dan dipersendakan.

Memang hudud hak semua orang seperti mana MH370 itu, semua orang berhak bercakap. Tetapi tidak bermakna semua orang boleh mengulas tentang kehilangannya mengikut nafsu masing-masing kerana ia boleh mengelirukan. Mereka yang tidak mahir dan pakar dalam sesuatu bidang tidak berhak campur tangan dalam bidang yang dia tidak tahu. Misalnya, apa dilakukan seorang bomoh itu, kononnya MH370 itu begitu dan begitu, ia bukan sahaja mengelirukan, tetapi melucukan. Paling teruk gara-gara aksinya menyebabkan negara diketawakan dunia luar.

Begitu juga dengan hudud ini negara-negara yang awal menerima Islam seperti di Timur Tengah mungkin ketawa dan mengeluh memerhati kita membicarakan soal hukum hudud di negara ini. Mereka gelak melihat gelagat kita yang hendak menjadi Islam lebih daripadanya. Orang Melayu selalu terjadi terlebih hulu dari mata.

Begitu juga mengenai hukum hudud ini. Perbicaraan dan pergaduhan sesama sendiri menyebabkan ia melucu dan boleh membingungkan pendengar. Bagi mereka yang arif mengenainya, sama ada keinginan melaksanakan sebagai satu kewajiban agama atau dijadikan modal politik, akan ketawa. Hanya orang yang tahu ia modal politik akan tersenyum kambing melihat implikasi daripada apa yang timbul di sebalik hudud kini. Manakala mereka yang dibiuskan hudud itu sebagai satu perjuangan menuju syahid, akan terus mendengar sebagai para pandir-pandir sahaja.

Yang anihnya ialah orang kampung dan budak-budak politik fanatik yang disogok dengan hukum-hukum "leper" mengenai keperluan hukum hudud perlu dilaksanakan. Mereka jenis ini dengan mudah menganggap kalau hukum hudud dilaksanakan, semuanya akan beres, kes jenayah, rogol, cabul akan selesai kerana penjenayah itu akan disebat. Bagi mereka apabila hukum hudud, sebat 100 rotan, tangan dipotong maka bereslah segalanya.

Mereka yang berfikiran mudah begitu tidak mempunyai kajian mendalam dan bersikap rasional untuk melihat realiti. Orang yang menganggap mudah itu samalah seperti orang yang mencadangkan doktor pakar untuk melaksanakan potong tangan. Mereka tidak terfikir, apakah perbuatan jenayah (bunuh) selesai walaupun kanun jenayah sudah lama dilaksanakan di negara ini. Sudah banyak pengedar dadah digantung dan pembunuh dihukum gantung (kecualilah pembunuh Altantuya sahaja yang terlepas), tetapi apakah semua jenayah itu beres?

Berfikir secara mudah (simplistik ala pak pandir) begitu samalah dengan orang yang tidak tahu dengan hal ehwal dunia penerbangan dan mudah mempercayai kata-kata para pakar pencarian kononnya kapal MH370 itu tenggelam di lautan Hindi dan akan diketemui apabila gerakan mencarinya secara besar-besaran dilakukan. Jelas mereka yang berangapan demikian tertipu dengan segala teori dan keyakinan yang palsu itu. Jauh sekali untuk merasakan mereka dipermainkan oleh kuasa-kuasa besar.

Nah, kini hukum hudud telah jadi sebiji macam pesawat MH370. Perlaksaanya di negara ini dengan adanya Perlembagaan yang sedia ada,  dengan kemajmukan komunitinya, sama seperti harapan untuk menemui MH370 yang hilang entah di mana lokasi itu. Ia bukan "semesek" untuk dilaksanakan. Ia hanya menjadi igauan dan angan-angan sahaja, seperti igauan untuk menemuinya MH370 itu yang sebenarnya mungkin disembunyikan.

Hudud tidak akan dapat dilaksanakan selagi Perlembagaan tidak dipinda. Manakala kerja untuk meminda Perlembagaan itu saling tidak tumpah samalah dengan kerja untuk menghalau orang Cina, India dan bukan Islam lain agar pulang ke benua kaum mereka. Ia tidak mungkin terjadi kerana mereka adalah warganegara ini. Jadi apa?

Apa yang kena dilakukan terlebih dahulu ialah memberi kefahaman kepada mereka sedalam-dalamnya seperti mana mereka tahu orang Islam (Melayu) terikat dengan hukum-hukum syariat seperti termaktub dalam rukun Islam. Ertinya orang Melayu kena menjadikan hudud itu sebagai rukun Islam. Apakah proses penyedar dan dakwah ke atas mereka sudah dilakukan sesempurnanya?

Apa lagi angan-angan dan harapan hudud itu akan "terlepai" begitu saja kalau isunya sengaja dilambung tinggi-tinggi kerana ingin untuk mendapat political mileage dan bukan dibuat atas nawaitu kerana Lillahitaala.

Di sini satu perkara saja saya nak sebut dan tegaskan, hudud akan jadi seperti MH370 dan ianya semacam dibuat secara acuh tidak acuh sahaja. Kenapa? Pertama, Pas sendiri tidak pernah bersungguh untuk melaksanakan hukum hudud. Dalam masa 21 tahun selepas Kanun Jenayah Syariah II diluluskan oleh DUN Kelantan, sampai sekarang ini ia tidak diwartakan walaupun ia diperkenankan Sultan.

Kedua, kerajaan negeri tidak pernah menubuh sebarang institusi untuk merangka persiapan ke arah pelaksanaannya termasuk persediaan hakim, pendakwa, pegawai penyiasatan, pegawai sebatan dan potong tangan serta penjara walaupun ia pernah dicadangkan dan dipersetujui bekas MB Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Ada pimpinan kerajaan Kelantan menyebut kononnya sudah ada beberapa orang hakim sebagai persediaan untuk melaksanakan hudud. Kita meragui apa yang dikatakan pemimpin berkenaan. Untuk melantik hakim bukan boleh dibuat seperti hendak lantik ahli majlis daerah atau penghulu tanpa mukim. Ia mesti memenuhi undang-undang guaman dan kehakiman. Sekali lagi ia terikat dengan kehendak Perlembagaan.

Dan apabila disoal oleh wartawan siapa yang hendak melaksanakan hudud hudud (potong tangan) pemimpin berkenaan terus menunjukkan ke arah seorang doktor yang juga ahli Parlimen yang kebetulan berada berhampiran dengannya.  Mudah sekali caranya. Selepas orang mempertikaikan dengan jawaban bodoh beliau itu, baru beliau mengatakan ia akan menggunakan khidmat pakar bedah. Sekali lagi jawaban dan cadangan pemimpin itu dipertikaikan pula oleh Presiden Perubatan Malaysia (MMA) cadangan itu bertentangan dengan kod etika perubatan.

Nampak jelas bahawa kerajaan Kelantan tidak mempunyai prasarana dan man power (pelaksana) hukum berkenaan. Ia semacam bomoh yang guna teropong buluh kasat sahaja.

Ketiga, tidak ada jawatankuasa teknikal dan mekanisma pelaksanaan ditubuhkan. Jawatankuasa teknikal baru ditubuhkan pada 2011, iaitu setelah 18 tahun kanun hudud itu diluluskan. Kenapa begitu lama? Dan sepanjang hayatnya, hanya sekali saja jawatankuasa berkenaan bermesyuarat iaitu pada April 2014. Itupun tanpa kehadiran seorang ahli jawatankuasanya yang tinggal di Kuala Lumpur, kerana sebaik Ajk berkenaan tiba di lapangan terbang Kota Bharu beliau berpatah balik semula ke Kuala Lumpur kerana tidak ada yang datang mengambilnya.

Kelewatan penubuhan jawatankuasa teknikal, kekurangan ia mengadakan mesyuarat serta kanun itu masih belum digezetkan menjelaskan sikap sebenar kerajaan Kelantan berhubung hudud. Apakah ia tidak cergas apabila Dr Mahathir Mohamad mengutuskan surat menghalangnya, di mana kalau diusahakan juga kononnya Kelantan akan darurat? Kenapa Pas takut kepada darurat, kerana takut hilang kerajaankah? Di sini boleh dipersoalkan kerajaan Pas rela bergeluamang dalam dosa kerana tidak laksananya kerana cintakan kepada kuasa.

Bagaimana pula dengan situasi hari ini. Apakah Pas Kelantan tidak berkemungkinan akan kehilangan kerajaan apabila ura-ura untuk melaksanakan hukum hudud itu kerana ia kini ditentang oleh rakan-rakan Pas dalam Pakatan Rakyat? Apakah Pas mengira rakyat Kelantan semuanya sudah menerima hudud berpandukan kepada undi diperolehi dalam pilihan raya? Tetapi apakah Pas tidak mengira rakyat Kelantan yang undi UBN dalam pilihan raya lalu mereka adalah yang tidak hendakkan hudud? Kalau mereka ingin hudud sudah pasti mereka akan undi Pas.

Atau pun Pas berfikir Umno hari ini sudah bersama mereka kerana berpandukan kepada beberapa aksi ditunjukkan oleh pemimpin Umno. Iya dikuatkan lagi dengan persetujuan menubuhkan jawatankuasa teknikal seperti mana disebut Muhyiddin Yassin. Dan pertemuan TMB Kelantan Nik Mohd Amar Abdullah dengan Jamil Khir Baharum semalam mungkin memperkuatkan lagi keyakinan Pas bahawa Umno ikhlas, tulus dan redha dengan hudud?

Ingin saya menarik sedikit sahaja perhatian untuk difikirkan oleh para pemimpin Pas yang obses untuk melaksanakan hukum hudud dalam suasana hari ini. Kenapa selama ini Umno tidak pernah bersetuju degan Pas dengan agendanya ini. Selama 23 tahun Pas memerintah Kelantan, Umno tidak pernah memberi muka kepada Pas. Dan Umno sendiri menjadi kerajaan selama 59 tahun tetapi parti itu tidak pernah pun menyebut ingin laksanakan hudud usah mengusahakannya. Apa yang pemimpin Umno tidak hina dan perli hasrat Pas itu. Kononnya kalau hudud dilaksanakan ramai yang kudung tangan di Kelantan bahkan ada yang "menganjing" kalau hendak makan sup tangan sila ke Kelantan.
Apakah telah berlaku transfomasi hebat didalam Umno dibawah pimpinan Najib Razak hari ini maka mereka insaf dan sedar terus menerima hudud?

Hakikat yang perlu diketahui, Umno hari ini sudah kehilangan banyak darah. Sokongan kerajaan yang ditulanginya sudah berkurangan 2% suara popular, dan sudah dua penggal kehilangan majoriti 2/3 di parlimen. Umno menyedari akan bahaya di hadapan. Kerjasama tiga buah parti dalam Pakatan Rakyat, DAP, Pas dan PKR diinsafi boleh menyebabkan mereka kehilangan kerajaan. Jadi Umno kini sedang mencari talian hayat untuk mengekalkan kerajaanya.

Tidakkah tali hayat itu dengan bergantung kepada Pas menerusi hudud. Umno ikut apa kehendak Pas agar Pas berjalan ke arahnya. Lagak Umno bagaikan seorang tahanan penyamun yang akan ikut saja apa yang dipinta asalkan ia boleh selamatkan diri. Salah satu yang begitu dighairahi Pas ialah hudud, maka mereka menggunakan hudud untuk pancing. Percaya dan yakinlah Umno tidak menjadi baik kalau tidak ada sesuatu. Tempua tidak akan bersarang rendah kalau tidak ada mengadakan.

Dalam hal ini Umno lebih licik berpolitik berbanding dengan Pas. Ia sedia menukar arah dan menjadi munafik untuk mempertahankan kuasa. Keikhlasan Pas dan iltizamnya untuk melaksanakan hukum hudud diambil kesempatan untuk kepentingannya. Seperti mana kata Tokguru Nik Aziz, Umno baru boleh dipercayai sekiranya parti itu menukarkan perlembagaanya dari sekular kepada Quran.

Tidak arif pula saya mungkin dalam diam-diam Umno sudah pun menukarkan perlembagaanya daripada sekular kepada Quran. Namun kesahihan hal ini akan terbukti apabila Nik Aziz mencadangkan agar Pas dibubarkan semua ahli akan masuk Umno? Sebab beliau pernah bermadah sekiranya Umno menukarkan perlembagaannya kepada al-Quran dan al-Hadith beliau sendiri akan nasihatkan Pas agar dibubarkan. Tetapi yang nyata pengisytiharan itu masih belum didengari.

Hudud lebih kurang dan kurang lebih dengan MH370 dimana penyelesaian terhadapnya terus misteri dan tertanya-tanya bagi mereka yang tidak dapat membaca kilau dalam kilat di dunia politik. Bagi mereka sudah arif yang bangau boleh berdiri satu kaki dalam air, tidak merasai hairan dan pelik lagi dengan ulah dan perangai Umno

No comments: