MALAYSIAKINI
NGO pendesak Melayu, PERKASA mencadangkan supaya Cuepacs dan dewan
perniagaan mengetuai perhimpunan besar-besaran rakyat menyokong
pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST).
Presidennya, Datuk Ibrahim Ali berkata, ia sebagai tindak balas kepada
perhimpunan anti-GST 1 Mei anjuran NGO pembangkang yang didakwanya telah
mengelirukan rakyat.
PERKASA, katanya, akan memberi sokongan demi kebaikan rakyat dan negara.
"Perhimpunan yang menimbulkan kekeliruan di kalangan rakyat mengenai GST
di mana pembangkang mengambil kesempatan isu GST sebagai modal politik
memburukan kerajaan dan mereka mendapat untung politik," kata Ibrahim
dalam satu kenyataan.
Menurutnya, di kalangan pembangkang, pemimpin PAS dan DAP menyerang GST secara "kromo dan tidak ilmiah".
"Sekadar emosi politik. Manakala PKR mengambil kesempatan untuk membela (Ketua Umum PKR Datuk Seri) Anwar (Ibrahim)," tambahnya.
Ibrahim mendakwa 95 peratus orang Melayu dan ahli PAS yang menghadiri perhimpunan anti-GST itu "tidak tahu apa-apa".
"Pasti ada yang percaya menentang GST adalah satu jihad," katanya sambil mendakwa mereka dilatih untuk menentang apa saja isu.
"Baik buruk tidak kisah. Yang penting lawan. DAP dapat peluang bercakap
depan ribuan Melayu PAS dan Melayu pun bertepuk, menang sorak kampung
tergadai," katanya.
Ibrahim mendakwa ahli DAP (orang Cina) tidak sampai 5 peratus yang hadir.
"Malunya. PKR pula sibuk dengan kes Anwar. Kalau Anwar masih dalam Umno
dan (menjadi) menteri kewangan, pasti berapi-api sokong GST dan bedal
habis orang yang tak sokong," katanya.
"Macam ISA lah. Masa operasi Lalang 1987, sepatah haram tak bercakap.
(Tun) Dr Mahathir (Mohamad) adalah wira Islam Dunia, kata Anwar masa
berkempen Tengku Razaleigh (Hamzah) lawan Tun Dr Mahathir pada 1987.
"Bila dipecat atas kelemahan diri sendiri, Dr Mahathir orang yang paling jahat. Aduh duh duh...," tambahnya.
Oleh itu, tegas Ibrahim, maka wajarlah CUEPAC dan dewan perniagaan
tampil menerajui perhimpunan memperjelaskan GST dan diadakan di tempat
yang sama,depan Dataran Merdeka.
"PERKASA akan memberi sokongan apa yg termampu demi kebaikan rakyat dan ngara.
"Masa dah tiba,rakyat yang sedar, senyap selama ini, bangkit
mpertahankan apa yg baik untuk rakyat dan negara. Jika PERKASA buat,
akan dituduh macam-macam," tambahnya.
Khamis lalu, Presiden Cuepacs Azih Muda pada 1 Mei yang berkata penjawat
awam yang merancang mengambil bahagian dalam protes anti-GST itu adalah
"pengkhianat".
Semalam Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Ali Hamsa berkata penjawat awam
yang didapati menghadiri perhimpunan tersebut - yang dihadiri
kira-kira 50,000 orang di depan Dataran Merdeka untuk membantah GST -
akan menghadapi tindakan tegas, termasuk dibuang kerja.
No comments:
Post a Comment