Saturday, May 3, 2014

GERAMM kutuk tindakan ganas terhadap wartawan

MALAYSIAKINI


 


Gerakan Media Marah (GERAMM) menuntut penjelasan dari kumpulan peserta himpunan menentang cukai barangan dan perkhidmatan (GST) yang bertindak ganas terhadap petugas media kelmarin.
 
Dalam kenyataan hari ini, GERAMM turut menuntut penganjur himpunan tersebut menyiasat kejadian itu.
 
"Kami mahu penganjur menyiasat perkara ini dan kumpulan tersebut tampil memberi penjelasan sebab hal ini boleh berlaku.
 
"GERAMM dengan ini mengutuk sekeras-kerasnya tindakan keganasan terhadap wartawan ini," kenyataannya dipetik.
 
Dalam kejadian semalam, jurufoto HCK Media (mewakili akhbar mingguan perniagaan Focus Malaysia, akhbar mingguan The Heat dan portal theantdaily.com) Sharil Amin Abdul Rahim disepak dan ditumbuk peserta himpunan.
 
Sementara ,juruamera agensi Negara China Xinhua News, Mohd Zul Iskandar Hanafiah turut disepak beberapa kali oleh sekumpulan anak muda berpakaian hitam dan bertopeng.
 
Manakala, jurufoto The Malaysia Reserve, Hafzi Mohamad terkena balingan kayu dalam kejadian tersebut.
 
Dalam reaksinya, Persatuan Jurugambar Berita Malaysia (MPPA) berkata wartawan yang dikasari akan mengambil tindakan undang-undang.
 
Mengulas hal ini, GERAMM menyokong tindakan MPPA.
 
"GERAMM turut menyokong tindakan undang-undang yang mahu dibuat wartawan yang menjadi mangsa termasuk laporan polis yang mahu dilakukan oleh Persatuan Jurugambar Berita Malaysia (MPPA) dan individu terlibat.
 
"Bukti video dan gambar yang didapati turut dengan jelas menunjukkan provokasi dan keganasan yang dihadapi para wartawan yang berada di tempat kejadian," kata Geramm.
 
Menurutnya lagi, fungsi sesetengah media sebagai alat propaganda tidak mewajarkan sikap ganas ke atas mereka.
 
"GERAMM berpendapat walaupun sebilangan media dianggap sebagai alat propaganda pihak tertentu, tindakan keganasan terhadap wartawan tidak boleh diterima sama sekali," kata kenyataan itu.

No comments: