SHAH ALAM - Ketua Dewan Muslimat Pas, Siti Zailah Mohd Yusoff
menyatakan keraguan dengan pelawaan Ketua Wanita Umno, Datuk Seri
Shahrizat Abdul Jalil untuk memulakan muzakarah dengan sesi minum teh
bersama.
Siti Zailah berkata, walaupun Muslimat terbuka dengan ajakan tersebut namun niat sebenar Shahrizat masih diragui.
"Kita tak mahu hanya gimik sahaja, mungkin juga gimik sahaja.
"Hanya nak ambil gambar yang dimasukkan dalam akhbar atau dilaporkan
media kita duduk bersama minum teh, tetapi tak ada sebarang perbincangan
atau penyelesaian.
"Lagipun saya 'kenal' benar dengan Shahrizat, sudah lama kenal, saya
selalu bertembung dengan dia di Parlimen," katanya kepada Sinar Harian
Online.
Terbaru, Wanita Umno menyatakan kesediaan untuk memulakan langkah
pertama bermuzakarah dengan Dewan Muslimat Pas sebaik Perhimpunan Agung
Umno (PAU) kali ini selesai.
Perkara itu disuarakan sendiri Shahrizat ketika ditanya pemberita
pada sidang media di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) berhubung langkah
pertama muzakarah yang masih belum dimulakan oleh mana-mana parti.
"Wanita Umno menjadi ejen perpaduan. Kita akan mulakan Islam dengan
Islam. Saya kenal beberapa pemimpin Muslimat, saya akan mulakan
silaturahim yang pertama.
"Ini bukan atas dasar politik. Mungkin kita mula dengan minum teh.
Saya akan buat jemputan selepas Perhimpunan Agung Umno ini tamat,"
katanya.
Dalam pada itu, Siti Zailah yang juga ahli Parlimen Rantau Panjang
berkata, banyak ruang lain untuk memulakan muzakarah bukan hanya di meja
teh atau kopi.
No comments:
Post a Comment