Monday, December 2, 2013

Pemimpin yang lesu juga menang AJK PAS Pusat

 
Ada yang memegang jawatan tinggi dalam negeri. Tetapi jarang menonjol dengan aktiviti turun padang. Jarang kelihatan bersama-sama rakyat.

 

Bahagian 2

Analisa Pasca Pemilihan PAS Pusat

Apakah kesemua calon yang berjaya dalam pemilihan AJK PAS Pusat, mempunyai ‘track record’ yang cemerlang.

Kenyataan yang tidak boleh dinafikan ialah ada beberapa yang menang itu kerana faktor sentimen terutama faktor sentimen berlatarbelakangkan Ulama.

Tidak mahu mengaibkan nama-nama calon itu tetapi cukuplah dikatakan umumnya tidak nampak apa kehebatan pemimpin-pemimpin itu. Ada yang memegang jawatan tinggi dalam sayap parti. Ada yang memeganag jawatan tinggi dalam negeri. Tetapi jarang menonjol dengan aktiviti turun padang. Jarang kelihatan bersama-sama rakyat.

Malah amat jarang sekali memberikan ulasan berhubung isu-isu kritikal yang membabitkan kewangan kerajaan yang membebankan rakyat.

Pemimpin-pemimpin ini sepatutnya mengecam dan mengulas isu seperti Laporan Audit Negara 2012 yang mendedahkan ketirisan jutaan ringgit, rasuah berleluasa, isu kenaikan harga minyak, isu GST, sistem pilihanraya yang berat sebelah dan banyak lagi isu sosio ekonomi. Tetapi tidak pasti apakah yang pemimpin ini buat ketika satu negara sibuk mengeluh dan marah.

Malangnya pemimpin-pemimpin ‘lesu’ seperti ini tetap diangkat sebagai AJK PAS Pusat. Bagaimana mereka tetap menang besar walaupun kelibatnya dalam kancah politik tanahair jarang kelihatan? Apa rahsia kemenangan calon-calon seperti ini?

Apakah sebab faktor sentimen kerana dari golongan Ulama maka mendapat undi ‘en-bloc’ dari perwakilan yang bergelar Ustaz atau Ulama? Atau atas sebab faktor kenegerian?

Atau apakah perwakilan PAS menilai calon-calon yang bertanding dengan merujuk kepada kerajinan calon-calon tersebut yang sering memenuhi undangan program ceramah.

Calon-calon yang ada skil berceramah dan rajin memenuhi undangan ceramah mungkin berjaya mendapat undi perwakilan dari serata kawasan walaupun dari segi gerak kerja politiknya mungkin lemah. Menghadiri program ceramah di seluruh negara membawa hubungan ‘personal touch’ antara calon dengan kepimpinan PAS Kawasan walaupun calon hanya akan berada di lokasi ceramah lebih kurang untuk dua jam. Tetapi persoalannya apakah prestasi calon dinilai berdasarkan kerajinannya memenuhi undangan program ceramah?

Sukar difahami mengapa calon-calon yang sering menonjol dalam isu-isu rakyat, sering turun padang bersama rakyat untuk menyelami permasalahan yang timbul dan berusaha untuk mengatasi masalah tersebut serta aktif sebagai aktivis akhirnya tersungkur begitu sahaja.

Contohnya seperti Dr Raja Ahmad Iskandar Raja Yaakob, Suhaizan Kayat, Zulkefly Mohamad Omar, Aiman Aithirah Sabu, Abang Ahmad Kerdee Abang Masagus dan Mohd Anuar Tahir.

Bukan berniat memperkecilkan kemenangan calon-calon tertentu tetapi menjadi tanda tanya; contohnya, apakah prestasi calon-calon yang menang seperti Ustaz Nik Zawawi Nik Salleh, Ustaz Dr Riduan Mohd Nor dan Ustazah Nuridah Salleh lebih cemerlang berbanding enam calon di atas? Atau perwakilan memilih atas dasar sentimen Ulama? Hanya perwakilan PAS sahaja yang boleh menjawab rasionalnya.

Satu lagi fakta menarik yang perwakilan PAS mungkin tidak perasan ialah dikala AJK PAS Pusat mempunyai wakil dari Dewan Ulama PAS Pusat dan Dewan Muslimat PAS Pusat, tidak ada seorang pun wakil dari Pemuda PAS Pusat.

Apakah perwakilan PAS Pusat tidak mahu mengangkat suara anak muda dan melahirkan tokoh muda untuk menyambung ‘baton’ perjuangan parti Islam tersebut dalam kancah politik tanahair?

Mungkin ada yang akan berkata Ustaz Nasrudin Hassan At-Tantawi dan Ustaz Nik Muhammad Abduh Nik Abdul Aziz merupakan anak muda dalam AJK PAS Pusat.

Tetapi hakikatnya Nasrudin Hassan dan Nik Muhammad Abduh ketika masing-masing memegang jawatan Ketua Pemuda PAS Pusat dan Timbalan Ketua Pemuda PAS Pusat pada penggal 2011-2013 pun; mereka berdua lebih menonjol sebagai pemimpin Ulama berbanding pemimpin Pemuda.

PAS Ganti Umno merupakan slogan pada PRU-13 yang lalu. PAS bercita-cita meluaskan pengaruhnya di negeri-negeri seperti Negeri Sembilan, Melaka, Perlis, Sabah dan Sarawak.

Malangnya kepimpinan dan perwakilan gagal melihat perlunya ada wakil AJK PAS Pusat yang dipilih dari negeri-negeri tersebut.

Jika kepimpinan nampak keperluan ini sudah pasti kepimpinan pusat menurunkan nasihat kepada kepimpinan negeri, kepimpinan negeri turunkan kepada kepimpinan kawasan, menasihatkan agar memberikan undi dalam konteks menyeluruh (insklusif) dan bersifat nasional.

Iaitu kalau boleh pastikan setiap negeri ada seorang calon berjaya menang sebagai AJK PAS Pusat agar suara semua negeri didengari di peringkat PAS Pusat. Kemenangan seseorang calon dari sesebuah negeri terutama negeri-negeri yang PAS masih lemah, akan memberi kesan positif kepada kepimpinan akar umbi. Ianya akan memberi semangat kepada ahli-ahli PAS di peringkat kawasan dan cawangan.

Dengan status AJK PAS Pusat, calon dari negeri-negeri terbabit juga akan dijemput menyampaikan ceramah di negeri-negeri lain. Ini akan menaikkan ‘mileage’ kepada pemimpin-pemimpin PAS dari negeri-negeri yang PAS masih lemah. Malah nama imej PAS negeri tersebut juga akan naik dimata ahli PAS seluruh negara.

Hakikatnya kepimpinan PAS Pusat boleh melantik ramai AJK PAS Pusat dari Sabah, Sarawak, Negeri Sembilan, Melaka, Wilayah Persekutuan dan Perlis. Tetapi adalah lebih manis, bermakna, bersemangat  dan merit jika wakil dari negeri-negeri ini duduk di kerusi AJK PAS Pusat kerana dipilih menerusi kertas undi.

Kalau tidak untuk apa pemimpin PAS yang ‘otai’, yang popular, yang memiliki status Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri ingin bertanding jawatan AJK PAS Pusat? Bukankah dengan status popular, jawatan dan track record yang cemerlang, boleh sahaja mereka tidak bertanding tetapi menunggu Presiden parti melantik mereka sebagai AJK PAS Pusat.

Untuk muktamar akan datang perwakilan PAS harus tanya pada diri sendiri: Apakah mereka mahu melambak semua jawatan di dalam PAS Pusat dengan pemimpin-pemimpin dari negeri-negeri tertentu sahaja?

Kelantan mempunyai seorang wakil dalam jawatan Naib Presiden dan juga mempunyai tiga wakil dalam AJK PAS Pusat.

Presiden PAS dari Terengganu, satu suara yang sangat besar dan berkuasa dalam parti. Tetapi Terengganu juga mempunyai tiga wakil dalam AJK PAS Pusat.

Apakah pada pemilihan akan datang perwakilan boleh ‘sedekah’ masing-masing satu kerusi AJK PAS Pusat kepada negeri-negeri seperti Sabah, Sarawak, Melaka, Negeri Sembilan dan Perlis?

Perwakilan harus ketahui bahawa PAS bertanding di banyak kerusi DUN di Negeri Sembilan, Melaka dan Perlis. Tidak mustahil sekiranya PAS menang banyak kerusi DUN di Negeri Sembilan, Melaka dan Perlis pada PRU-14, menteri besarnya akan datang dari PAS.

Tetapi kemenangan PAS Negeri Sembilan, Melaka dan Perlis pada PRU-14 harus bermula dengan kemenangan calon PAS dari negeri-negeri itu di peringkat PAS Pusat.

Agak menyedihkan apabila ada perwakilan dari negeri-negeri tersebut tidak mengundi calon-calon dari negeri mereka sendiri kerana masalah politik dalaman dan perbezaan pendapat di peringkat negeri.

Bagaimana rakyat ingin menyokong pemimpin PAS dari Negeri Sembilan, Melaka dan Perlis jika sekiranya perwakilan PAS sendiri tidak menyokong calon-calon dari ketiga-tiga negeri ini?

Bagaimana PAS ingin melahirkan lebih ramai tokoh muda sekiranya perwakilan sukar memberi kepercayaan kepada pemimpin pemuda dalam AJK PAS Pusat?

Sekiranya PAS benar-benar ingin ganti Umno, perwakilan atau lebih tepat lagi kepimpinan kawasan harus mengangkat pemimpin berdasarkan ‘track record’ dan bukannya atas sebab sentimen dan politik dalaman.

PAS harus memperkasakan dirinya dan membuat pembaharuan jika bercita-cita mahu membentuk kerajaan pusat bersama PKR dan DAP pada PRU-14.

Bahagian 1:
Perwakilan PAS pilih pemimpin berdasarkan sentimen dan kenegerian

No comments: