Lebih-lebih lagi PAU tahun ini di mana
“thrill”nya sudah hilang. Dahulu mereka datang mahu tengok siapa yang
menang dan siapa yang kalah.
PETALING JAYA: Perhimpunan Agung Umno (PAU) yang berakhir semalam semakin hambar. Kalau dahulu d zaman Tun Dr Mahathir Mohamad, setiap kali PAU, orang ramai bersesak di PWTC mahu mendengar ucapan Dr Mahathir.
Mungkin kerana aura Dr Mahathir, maka ahli Umno seluruh negara sanggup berkampung di PWTC. Sejak Tun Abdullah Ahmad Badawi mengambilalih pucuk pimpinan Umno, orang ramai kurang mengikuti PAU. PWTC tidak sesesak dahulu lagi. Para penulis buku politik semasa tidak dibenarkan menjual buku lagi di situ.
Tidak seperti di zaman Dr Mahathir, mereka bebas menjual buku politik yang anti Umno di PWTC. Di zaman Datuk Seri Najib Tun Razak menjadi Presiden Umno, suasana PWTC seperti di zaman Pak Lah lagi.
Lebih-lebih lagi PAU tahun ini di mana “thrill”nya sudah hilang. Kalau dahulu mereka datang mahu tengok siapa yang menang dan siapa yang kalah tetapi pemilihan serentak di seluruh negara pada 19 Oktober lalu mereka sudah tahu keputusan siapa yang terpilih sebagai ahli majlis tertinggi yang baru.
Kalau dahulu ahli Umno berebut mahu jadi G7 ke PAU tetapi mulai tahun ini peranan G7 sudah tidak seperti dahulu lagi apabila kuasa mengundi sudah turun ke akar umbi.
Maka mereka tidak perlu datang beramai-ramai seperti tahun 1990, 1993, 1996, 2000, 2004 dan 2009 Apatah lagi ia diadakan di musim banjir, maka tidak ramai pemerhati dari Pahang, Terengganu yang datang ke PWTC. Malah ada juga perwakilan yang tidak dapat hadir kerana mahu membantu mangsa banjir.
Tetapi Najib pandai mencari publisiti di musim banjir. Nak menunjukkan beliau perihatin kepada rakyat, selepas menyampaikan ucapan dasarnya di PAU Khamis lalu, beliau terus ke Pahang melawat mangsa banjir sedangkan banjir sudah masuk hari keempat. Sepatutnya pada hari pertama lagi beliau sudah bergegas ke Pahang melawat mangsa banjir.
Peniaga yang berniaga di PWTC bersungut kalau di zaman Dr Mahathir, mereka untung besar tetapi di zaman Najib sekarang untung mereka tidak sebesar mana. Ini bermakna makin kurang orang yang datang ke PWTC mengikuti PAU.
Sepatutnya
PAU tahun ini amat aneh kerana ia bersidang dengan barisan ahli majlis tertinggi Umno yang menang pada 19 Oktober lalu. Sepatutnya ia bersidang dengan barisan ahli majlis tertinggi 2009-2013.
Menurut bekas Setiuasaha Umno Bahagian Bandar Tun Razak, Zaharin Mohd Yasin, takdirnya Datuk Seri Hishamuddin Hussein kalah bertanding jawatan Naib Presiden Umno pada 19 Oktober lalu, beliau tidak ada peluang untuk menyampaikan ucapan penangguhan kerana beliau sudah tidak berada di atas pentas lagi.
Zaharin sudah memberitahu Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor mengenai peraturan ini tetapi pihak pengurusan Umno berkeras mahu yang menang pada 19 Oktober lalu duduk di atas pentas.
Nampaknya Umno membelakangkan peraturan. Kalau DAP yang buat ini hebaoh satu negara tetapi Najib pejam mata sahaja. Umno sudah lama tidak ikut peraturan. Menurut perlembagaan Umno, pemilihan kena diadakan setiap tiga tahun sekali.
Sejak zaman Dr Mahathir lagi pemilihan ditangguhkan kerana pilihanraya umum (PRU). Kalau pemilihan diadakan sebelum PRU, ia dikatakan akan memecahbelahkan parti maka pemilihan diadakan selepas PRU. Sebab itu sepatutnya Umno mengadakan pemilihan pada tahun 1999, 2002, 2005, 2008 dan 2013 (lima kali) sebaliknya ia diadakan pada 2000, 2004, 2009 dan 2013 (empat kali).
Dua hari lepas (6 Disember) Nelson Mandela yang membebaskan Afrika Selatan meninggal dunia sempena hari ulangtahun ke 23 kematian Presiden Umno kedua, Tunku Abdul Rahman Putra Alhaj. Tetapi menurut Zaharin, perwakilan Umno melupakan Tunku sedangkan PWTC dinamakan sempena nama Tunku.
Tiada perwakilan yang mengambil bahagian dalam perbahasan meminta semua perwakilan menyedekahkan al Fatihah kepada Tunku sempena ulangtahun kematiannya yang ke 23.
Menurut Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin, perwakilan bebeas berbahas apa sahaja. Benarkah mereka bebas bercakap? Bukankah teks ucapan mereka diedit terlebih dahulu?
Sebab itu kita lihat ucapan penuh dengan mengampu pemimpin. Tiada yang berani menegur pemimpin.
Usul pula asyik usul yang sama, usul agama, usul pendidikan, usul ekonomi. Seperti kata Zaharin, Umno kena juga bincangkan usul keselamatan, usul pertahanan negara.
Sebab itu ahli Umno kurang berminat dengan PAU sekarang kerana mereka bercakap benda yang sama setiap tahun sedangkan perkara yang dibincangkan dalam usul itu tidak dilaksanakan.
PAU semakin lama semakin hambar. Maka Najib perlu mencari jalan untuk menarik orang ramai menghadiri PAU pada tahun hadapan.
No comments:
Post a Comment