Hari ini, 9 Disember 2013 adalah Hari Anti Rasuah Antarabangsa seperti yang ditetapkan oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB). Wujudnya Hari Anti Rasuah Antarabangsa membayangkan betapa dunia memahami kerosakan kepada masyarakat dan negara yang berleluasa di seluruh dunia akibat rasuah.
Hari Anti Rasuah Antarabangsa bukanlah satu perkara yang besar di Malaysia. Setiap tahun, ia berlalu tanpa ada sedikit pun kesan kepada usaha membanteras rasuah yang membayangkan ketidaksungguhan Barisan Nasional mencegah rasuah.
Budaya rasuah yang berleluasa dalam setiap aspek kehidupan rakyat Malaysia, baik yang berpangkat rendah atau tinggi, kerajaan atau swasta, telah membawa kesengsaraan kepada rakyat keseluruhannya.
Kenaikan harga dan kesuntukan hidup yang dihadapi rakyat mutakhir ini berpunca dari rasuah apabila hasil negara diselewengkan hingga peruntukan rakyat dipotong.
Perang terhadap rasuah tidak boleh diserahkan kepada kerajaan atau SPRM semata-mata.
Memang menjadi keutamaan mereka untuk tidak lebih tegas dalam hal berhubung rasuah kerana rasuah telah disistemkan dalam segala urusan kerajaan dan swasta di negara ini yang menguntungkan golongan elit yang berkuasa.
Kami berazam bahawa perang ke atas rasuah perlu dibawa dari bawah oleh rakyat.
Wajarlah ia dibawa oleh pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang lebih tegas dan berani berhadapan dengan rasuah. Mulai tahun 2014, kami berazam bahawa Hari Anti Rasuah Antarabangsa akan mempunyai kesan yang besar di kalangan rakyat dan agenda membanteras rasuah mencapai sasaran baru menjelang 9 Disember 2014.
Kami percaya kesungguhan memerangi rasuah perlu bermula dengan hukuman yang lebih berat.
Jika dadah pernah diisytiharkan sebagai musuh nombor satu negara dan hukuman maksimumnya adalah mandatori gantung sampai mati, rasuah sebagai musuh nombor satu negara sekarang juga wajar dikenakan hukuman sekeras mungkin.
Sudah tiba masanya negara dan masyarakat membincangkan kewajaran mengenakan hukuman yang lebih keras termasuklah menaikkan had maksimum hukuman penjara dari 20 tahun (seperti sekarang) kepada penjara seumur hidup dan had maksimum denda dari lima kali suapan (seperti sekarang) kepada menyita dan merampas harta pesalah yang boleh diperuntukkan melalui pindaan kepada Akta SPRM sedia ada.
Adalah menjadi tanggungjawab semua untuk memfokuskan masyarakat kepada isu dan usaha-usaha membanteras rasuah.
Bersempena dengan Hari Anti Rasuah Antarabangsa, National Oversight & Whistleblowers Centre (NOW) akan memulakan siri Hardtalk Now yang bertujuan membudayakan perbincangan yang kritikal untuk mencari jalan mencegah rasuah.
Siri pertama malam ini (9 Disember 2013, 830 malam di NOW Centre di Pekan Sungai Besi) akan menampilkan Saudara Rafizi Ramli yang banyak terlibat membongkarkan rasuah. Beliau akan berhadapan dengan soalan-soalan dari golongan muda mengenai isu-isu rasuah.
Siri Hardtalk Now ini akan diteruskan setiap bulan dengan menjemput tokoh-tokoh lain untuk dibedahsiasat oleh peserta dengan soalan-soalan yang kritis.
Rasuah adalah musuh nombor satu negara. Inisiatif membanteras rasuah perlu dikendalikan dan dipacu oleh rakyat kerana Barisan Nasional akan terus melindungi rasuah yang telah sebati dengan mereka.
Rafizi Ramli
Akmal Nasir
National Oversight & Whistleblower Centre (NOW)
No comments:
Post a Comment