Sunday, December 1, 2013

KPN beri amaran kepada kolumnis Mariam Mokhtar

MALAYSIA CHRONICLE




KOTA KINABALU - Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar memberi amaran kepada kolumnis freemalaysiatoday.com Mariam Mokhtar supaya tidak menulis artikel yang boleh disifatkan sebagai berbaur hasutan.

Beliau tidak senang dengan artikel tulisan Mariam bertajuk 'One Ideology, Two Reactions', dalam portal berita itu semalam yang mempertikai layanan berbeza kerajaan berhubung kepulangan dua anggota radikal komunis kelahiran Malaysia -- abu mayat pemimpin Parti Komunis Malaya Chin Peng dari Bangkok, Thailand dan Siti Aishah Abdul Wahab, yang terpengaruh dengan ideologi politik komunis serta didakwa dijadikan hamba di London selama 30 tahun.

"Lebih baik dia (Mariam) berhati-hati, jika tidak kami akan mengambil tindakan terhadapnya.

"(Artikel) Ini amat berbaur hasutan. Jangan siarkan semata-mata kerana hendak menarik orang melawat laman web kamu. Ia juga boleh mengundang kami (polis) untuk datang menangkap kamu," katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian Seminar Keselamatan dan Ketenteraman Awam di sini hari ini.

Seminar itu dirasmikan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman.

Khalid kecewa kerana kolumnis itu tidak dapat membezakan tahap kesalahan yang dilakukan Siti Aishah dan Chin Peng.

"Orang yang tak ada pelajaran pun faham kenapa kerajaan membenarkan Siti Aishah pulang ke tanah air dan menghalang abu mayat Chin Peng dibawa balik. Ini bukan kerana seorang Melayu dan seorang lagi, Cina.

"Chin Peng terlibat dengan perjuangan bersenjata, manakala Siti Aishah hanya menganut ideologi berhaluan kiri. Beritahu saya berapa ramai orang yang telah dibunuhnya (Siti Aishah)?" tanya beliau.

Khalid berkata tindakan tidak akan diambil terhadap Siti Aishah sekiranya dia pulang ke Malaysia atas alasan wanita itu sudah berusia 69 tahun dan dia melakukan kesalahan berkenaan berpuluh tahun lalu.

Mengenai kerakyatan Siti Aishah, beliau berkata polis masih menunggu laporan daripada United Kingdom sama ada wanita berkenaan telah melepaskan taraf kerakyatan Malaysia dalam tempoh 45 tahun dia berada di negara Eropah itu.

Siti Aishah, yang berasal dari Jelebu, Negeri Sembilan, meninggalkan negara ini pada 1968 untuk melanjutkan pelajaran di London School of Economics di United Kingdom, tetapi mengabaikan pelajarannya setelah terpengaruh dengan ideologi berhaluan kiri. - BERNAMA

No comments: