Para
perwakilan pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri Umno semasa
persidangan pergerakan ketiga-tiga sayap Umno 2013 di Pusat Dagangan
Dunia Putra (PWTC) di sini, hari ini.
KUALA LUMPUR - Gagasan progresif yang diperkenalkan Pemuda Umno bukan sekadar sembang kosong atas angin, sebaliknya telah dizahirkan melalui program yang membuahkan perubahan di akar umbi.
Ketuanya, Khairy Jamaluddin berkata, ini telah terbukti apabila pelbagai isu yang membelenggu rakyat telah diperjuangkan oleh Pemuda Umno.
"Lima rukun Pemuda Umno iaitu Berprinsip, Inklusif, Relevan, Proaktif dan Bersatu telah dirangkumkan dalam satu pendekatan baru yang lebih progresif. Progresif bukanlah bermakna lupa diri atau perjuangan asas.
"Percaya kepada pendekatan berbeza dan moden juga tidak bermaksud Pemuda menggadaikan identiti dan perjuangan bangsa merdeka. Sebaliknya, melalui pendekatan ini, Pemuda telah bergerak atas dasar politik khidmat bakti sebagai perjuangan kita," katanya ketika menyampaikan ucapan dasar di Perhimpunan Agung Umno 2013, di sini.
Katanya, nasib anak bangsa masih di takuk lama sekiranya pendekatan sekadar melaungkan slogan terus diamalkan.
"Walaupun ada di antara kita berasa cukup dengan hanya bersorak 'Hidup Melayu', kita jangan ambil pendekatan serupa. Hidup Melayu itu sudah ketentuan, tapi soalnya kita mahu Melayu hidup bagaimana?
"Yang penting ialah hasil dan keberkesanan program kita daripada melaungkan slogan semata-mata. Sudah tentu lebih mulia apabila Melayu hidup bermartabat dari merempat," katanya.
Dalam pada itu, katanya, Pemuda juga tidak lagi boleh bergantung dengan formula lama iaitu bertindak sebagai 'geng pendesak'.
"Kita membangkitkan semangat dan emosi, tetapi gagal meninggalkan kesan jangka panjang untuk agama, bangsa dan negara. Bukan niat mahu memperkecilkan pendekatan lama di mana Pemuda dilihat sebagai kumpulan pendesak kerajaan pasca merdeka.
"Namun, zaman sudah berubah dan masyarakat kini lebih mementingkan keberhasilan dan kebertanggungjawaban. Rakyat tidak lagi lut dengan retorik sekiranya tidak memberi kesan progresif kepada mereka," katanya.
No comments:
Post a Comment