Friday, December 6, 2013

Banjir: Rakyat Kuantan mahu Bung mohon maaf

KHAIRIL ABDUL RAHIM


KUANTAN: PAS Pahang menganggap tindakan Ahli Parlimen Kinabatangan Datuk Bung Mokhtar Raden yang seolah-olah mempersendakan usul darurat akibat banjir yang dibawa Ahli Parlimen Kuantan Fuziah Salleh, sebagai satu penghinaan kepada penduduk ibu negeri Pahang ini.

Sehubungan dengan itu, Ketua Penerangan PAS Pahang Suhaimi Saad berkata, penduduk Kuantan mahu Bung Mokhtar memohon maaf secara terbuka kerana dilihat jelas mempersendakan mangsa banjir yang sedang berdukacita.

“Bayangkan penduduk Kuantan terpaksa bertungkus-lumus separuh nyawa menghadapi banjir paling buruk dalam sejarah, tiba-tiba Bung Mokhtar tergamak mengganggu sambil mempersendakan usul tergempar yang dibawa Fuziah.

“Bedasarkan rakaman video Bung Mokhtar kelihatan mengganggu ucapan Fuziah sambil tergelak, seolah-olah kesusahan dan nasib hidup atau mati mangsa-mangsa banjir di Kuantan hanyalah gurauan,” katanya.

Suhaimi berkata, usul darurat yang dibawa oleh Fuziah itu tepat kerana apabila diisytiharkan akan melibatkan bantuan tentera dan banyak agensi kerajaan bersegera turun bagi membantu penduduk.

Tambahnya, penduduk Kuantan terpaksa melalui peristiwa sedih akibat banjir yang tidak pernah berlaku seburuk ini manakala bantuan daripada pihak berkuasa terlalu lembab disampaikan.

“Bayangkan, ada mangsa banjir termasuk orang sakit dan kanak-kanak yang berpindah ke pusat pemindahan tetapi makanan tidak cukup, bekalan elektrik tidak ada kerana ibu sawat ditenggelami serta bekalan air paip juga terputus,” jelasnya.

Semalam Dewan Rakyat gamat seketika sewaktu Anggota Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh membentangkan usul memohon Kuantan diisytiharkan darurat ekoran bajir teruk yang melanda bandar itu.

Bagaimanapun usul tersebut tidak dibenarkan oleh Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia.

Pada ketika itu, Bung Mokhtar dan ahli-ahli parlimen BN berdiri membuat bising, mencelah dan menggesa agar Fuziah dibenarkan pulang ke Kuantan untuk menjenguk kawasannya yang banjir.

Sementara itu suasana di Kuantan tidak banyak berubah. Menurut laporan rasmi yang dikeluarkan bilik operasi, terdapat kira-kira 30,000 mangsa yang dipindahkan ke pusat-pusat pemindahan banjir.

Difahamkan, jumlah tersebut tidak termasuk yang berpindah ke rumah keluarga di tempat yang selamat dan yang menginap di hotel.

Perhubungan dengan daerah-daerah lain masih terputus. 

No comments: