Saturday, December 7, 2013

Bangkit, hentikan label dan rapatkan saf

  
 



DETIK DAILY


Muktamar dan pemilihan pemimpin- pemimpin tertinggi parti yang lama ditunggu telah berlalu, meletakkan misi untuk dihadapi dan mengangkat pemimpin pilihan ahli untuk menerajui parti.

Selepas berlalu kempen dan pemilihan yang panas dan ada kalanya menyentuh sensitiviti dan mengguris perasaan, ahli wajar meninggalkan emosi kempen dan pemilihan, dan membawa semangat muktamar ke hadapan.

KIni masanya untuk semua menghayati dan melaksanakan semangat “infiru”, yang menjadi satu slogan muktamar pemuda, melaksanakan usaha menangani kefasadan dan meningkatkan usaha mengisi kemenangan yang telah dicapai dalam pilihan raya lalu.

Dengan melaksanakan semua ini, barulah PAS dapat menterjemahkan misi Islam sebagai rahmat untuk semua di bumi Malaysia ini.

Selepas selesai berkempen dan memilih barisan kepimpinan, ahliahli perlu menghentikan dan menolak sebarang usaha untuk memecahkan PAS dengan label-label yang menyeleweng, lebih-lebih lagi label-label yang dilemparkan semata-mata untuk memburukkan dan menjatuhkan kredibiliti.

Label buruk seperti parasit, anai-anai, penganut Islam liberal dan sebagainya perlu dihentikan daripada terus dimainkan dengan niat jahat, seperti yang dilihat di laman-laman blog dan laman sosial, tanpa diberikan bukti-bukti yang nyata.

Begitu juga dengan label-label seperti “geng UG” (pada awal dulu disebut sebagai promuzakarah), “faksi Umno,” dan sebagainya, dalam usaha melemparkan tuduhan liar dan membina persepsi buruk sesama ahli yang menjadi saingan.

Label-label ini hanya meningkatkan dan menyebarkan fitnah kepada umum, yang akibatnya ditanggung oleh parti secara keseluruhan. Pada masa sama, ahli-ahli juga perlu tidak membuka ruang fitnah dengan berhubungan rapat dengan penulis atau sesiapa sahaja yang telah terbukti menyumbang kepada membina suasana tidak harmonis dalam parti.

Atas semangat berlumba-lumba mengerjakan kebaikan, seluruh ahli jamaah perlu menetapkan kesatuan pemikiran dan matlamat PAS sebagai sebuah gerakan Islam yang tidak sepatutnya dicemari aliran-aliran pemikiran yang menyeleweng daripada Islam.

Hanya dengan bersatu, merapatkan saf dan bangkit bersama sebagai satu barisan, PAS akan dapat menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14 nanti dengan lebih bersedia dan yakin, dan hasil kerja yang telah diusahakan, PAS dapat mengharapkan hasil yang lebih baik.

Selepas menegaskan sekali lagi yang PAS perlu bersama dengan Pakatan Rakyat, dan perlunya penambahbaikan melibatkan hubungan sesama anggota komponen, ketetapan ini perlu dilaksanakan, untuk membuktikan keyakinan PAS sebagai anggota Pakatan yang menjadi harapan rakyat untuk menghadapi parti pemerintah Barisan Nasional yang merosakkan.

Sejarah telah menunjukkan yang Pakatan ialah gabungan kerjasama parti paling berjaya dalam menghadapi BN, dan perlu terus diperbaiki dan diperkukuhkan, kerana ini ialah amanah yang diberikan oleh rakyat kepada kita.

Dua pilihan raya umum yang dihadapi sejak 2008 membuktikan bahawa rakyat telah bersedia untuk menuntut dan melaksanakan perubahan.

Maka oleh itu, marilah seluruh ahli merapatkan saf, mengetepikan perbezaan-perbezaan kecil, dan terus membuktikan kepada rakyat yang PAS dan Pakatan akan terus melaksanakan misi memikul amanah, melaksanakan tanggungjawab yang diberikan oleh rakyat.

No comments: