Friday, July 26, 2013

Tun Zaki: Perbaiki Akta Pencegahan Jenayah, tahanan tanpa bicara adalah jalan pintas

Oleh Md Izwan

Bekas Ketua Hakim Negara, Tun Zaki Azmi hari ini memberi pandangan supaya Akta Pencegahan Jenayah 1959 (disemak 1983) yang sedia ada diperbaiki supaya memberi kuasa kepada polis untuk memerangi jenayah berat, bukan sebaliknya memperkenalkan satu akta baru yang berfungsi sama seperti Akta Darurat (EO).

Beliau berkata, Akta Pencegahan Jenayah (PCA) mempunyai fungsi sama seperti dengan EO yang sudah dimansuhkan, bagaimanapun polis tidak menggunakan akta itu untuk menangani kes jenayah berat yang dikatakan meningkat.

"Polis boleh gunakan PCA ini, mereka boleh gunakannya.

 "Tapi kenapa polis tidak mahu menggunakan PCA ini saya tidak dapat jelaskan, secara jujurnya saya tidak tahu untuk jelaskan. Mungkin dulu ada alasan tidak gunakannya kerana EO tapi kini ia sudah dimansuhkan," kata Zaki semasa perbincangan meja bulat yang diadakan di Universiti Malaya hari ini.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi baru-baru ini mengumumkan menghantar draf pertama set undang-undang baru untuk menggantikan EO ke Jabatan Peguam Negara, bagaimanapun Zaki berkata sebaliknya apabila menegaskan memadai sekadar PCA dipinda.

"Sudah tentu kita boleh pinda ini, perkara ini berada dalam jadual dan menteri mempunyai hak untuk meminda jadual PCA.

"Hanya perlu tanpa akta undang-undang dibawah kategori ini," katanya.

PCA terbahagi kepada lima kategori sedia ada, siasatan perlu dilakukan bertujuan menentukan sama ada seseorang yang ditahan itu jatuh di bawah salah satu kategori yang tersenarai iaitu ahli kumpulan haram atau kongsi gelap, seseorang menyertai kumpulan terbabit dalam aktiviti jenayah, penyeludupan dadah, penyeludupan manusia dan perjudian atau mesin judi haram yang menyalahi undang-undang.

Zaki, yang juga salah seorang panel dalam Suruhanjaya Diraja Polis 2004, menyifatkan "tahanan tanpa bicara" hanya jalan pintas kepada pasukan polis untuk menahan seseorang individu yang disyaki.
"Penahanan pencegahan mungkin jalan pintas," katanya.

Bagaimanapun, Zaki faham jika polis tetap bertegas untuk menggunakan penahanan pencegahan kerana menurutnya ia adalah lebih mudah jika dibandingkan dengan proses yang perlu dilalui mengikut PCA.

"Semasa EO dikuatkuasa, polis dapati lebih senang gunakan EO berbanding PCA kerana kesalahan dalam PCA sangat terhad dan mereka terpaksa berdepan majistret dan perlu membawa tertuduh untuk didakwa dalam tempoh 24 jam.

"Berbeza dibawah EO, mereka boleh tahan 60 hari tanpa arahan mahkamah. Maka polis akan peroleh masa lebih banyak untuk siasat," katanya.

Seseorang yang ditahan dibawah PCA dengan alasan munasabah akan diberikan tempoh reman selama 28 hari, sekiranya gagal membuat pendakwaan dalam tempoh itu tertuduh akan dilepaskan oleh majistret.

Zaki turut mengakui keberkesanan penahanan pencegahan yang mampu mengurangkan kadar jenayah, kerana menyifatkan perkara paling sukar dalam sesuatu pendakwaan adalah untuk membawa saksi bagi memberikan keterangan.

"Tetapi ia sangat berkesan, saya boleh pastikan kadar jenayah boleh dikurangkan.

"Untuk menangkap, mengenalpasti mereka dan mengemukakan bukti bukan senang. Saksi tidak akan tampil di mahkamah, bukan senang untuk bawa saksi beri keterangan," katanya.

Awal bulan lalu, Zahid berkata kerajaan merangka undang-undang baru dalam usaha membanteras jenayah selepas memansuh EO dan Akta Kediaman Terhad.

Dua menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Paul Low dan Nancy Shukri, ditugas untuk mendapatkan maklum balas mengenai draf undang-undang baru itu.

Namun,  Menteri Dalam Negeri itu menerima kritikan hebat daripada Ahli Parlimen Pakatan Rakyat (PR) kerana cuba mengaitkan EO sebagai alasan peningkatan kadar jenayah walaupun statistik polis menunjukkan kadar jenayah selepas EO dimansuhkan iaitu pada 2012, menurun.

EO dimansuhkan pada tahun 2011 berikutan kritikan terhadap undang-undang itu yang dikatakan zalim dan tidak demokratik.

Ahmad Zahid juga menyatakan lebih 2,600 tahanan di Simpang Renggam, Johor dibebaskan berikutan pemansuhan EO tetapi beberapa daripada mereka kembali melakukan jenayah.

Namun, kenyataan Ahmad Zahid itu disanggah kerana hakikatnya ketika EO masih wujud, jenayah meningkat secara agresif daripada 2003 kepada 2008

No comments: