Penahanan rakan kepada R Sri Sanjeevan yang bersama-sama berada dalam
kereta ketika Pengerusi MyWatch ditembak di Bahau, Negeri Sembilan
semalam, tidak kaitan dengan kes itu.
Sebaliknya, Ketua Polis Negeri, Datuk Osman Salleh, berkata rakan
mangsa itu ditahan tengah malam tadi berhubung satu kes di bawah Akta
Dadah Berbahaya (Langkah-langkah Pencegahan Khas) 1985.
Beliau berkata, suspek dikehendaki sejak awal tahun ini dan polis
bertindak memberkasnya di Balai Polis Bahau semasa dia datang membuat
laporan berhubung kejadian tembakan itu.
"Penahanan rakan R Sanjeevan tidak ada kena mengena dengan kes
tembakan. Ia kes berasingan kerana dia memang dikehendaki sebelum ini.
"Jadi, jangan ada pihak cuba membuat spekulasi terhadap mana-mana kes sehingga mengganggu siasatan polis," katanya.
Mengenai kes Sanjevan, Osman berkata, polis tidak menolak kemungkinan insiden tembakan itu, bermotif dendam.
Sanjeevan, 29, parah di rusuk kanan selepas terkena satu das tembakan
yang dilepaskan dua lelaki bermotosikal di simpang jalan di Taman
Cempaka, Bahau kira-kira 4.30 petang.
Osman berkata, satu pasukan khas ditubuh bagi melancarkan siasatan yang
diketuai Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Hadi Ho
Abdullah.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan meminta
pihak yang ada maklumat kejadian itu supaya menghubungi polis.
Katanya, mangsa stabil selepas dipindah ke Hospital Tuanku Ja'afar
selepas dirawat di Hospital Jempol dan dijadual dibedah hari ini bagi
mengeluarkan peluru.
Bagi menjaga keselamatan mangsa, polis menempatkan anggota menjaga mangsa di hospital," katanya.
Kejadian dilaporkan berlaku ketika mangsa sedang memandu ke Taman Cempaka untuk menjemput rakannya keluar minum di Pekan Bahau.
Semasa dalam perjalanan selepas menjemput rakannya, mangsa menurunkan
cermin sisi keretanya jenis BMW untuk menghisap rokok dan memperlahan
keretanya apabila tiba di satu simpang.
Dua lelaki bermotosikal jenis Yamaha LC kemudian dikatakan menghampiri
kereta mangsa lalu melepaskan satu das tembakan ke arah mangsa sebelum
mengenai dan menembusi siku kanan dan terkena rusuknya.
Seorang lelaki itu cuba menghampiri mangsa, bagaimanapun mangsa terus
memecut keretanya sejauh 300 meter sebelum meminta rakannya memandu dan
membawanya ke hospital.
MyWatch yang dinaungi bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan merupakan badan yang memantau keadaan jenayah dalam negara.
Sanjeevan adalah pengerusi yang lantang menyuarakan dan membuat laporan
polis berhubung aktiviti perjudian haram di negeri ini terutama di
Jelebu dan Jempol dan pernah menerima ancaman. - Bernama
No comments:
Post a Comment