Tuesday, January 29, 2013

Ujian tapisan calon 'panaskan suhu' PRU13

SALMIAH DRUHAMAD DRAHSIN

Fokus Mingguan: Politik Malaysia dicemari lagi
Detik & Peristiwa Tumpuan Sepanjang Minggu.
 
HEBOH apabila beberapa nama dikatakan kantoi tidak lepas saringan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan disaran supaya tidak bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13)!
 
Muka depan Sinar Harian pada Khamis, 24 Januari melaporkan dua menteri kantoi diikuti dua pimpinan tertinggi sebuah parti. Pengguguran itu tidak boleh dielakkan kerana beberapa tokoh itu gagal dalam ujian tapisan yang dilakukan oleh SPRM kerana mempunyai masalah dengan undang-undang.
 
Maklumat yang diterima Sinar Harian menunjukkan nama-nama besar yang gagal ujian tapisan tidak boleh diletakkan sebagai calon dan jika dicalonkan juga, ia akan memberi implikasi kepada parti terbabit.
 
Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, BN komited memastikan calonnya kali ini benar-benar bersih dan akan menyerahkan senarai nama calonnya untuk tapisan SPRM. 
 
Bagaimanapun, pendekatan itu tidak terpakai ke atas Pakatan Rakyat yang mempunyai mekanisme tersendiri dalam memastikan senarai calon yang dikemukakan bebas dari salah laku undang-undang. 
 
Pas berkata tapisan calonnya dilakukan sendiri oleh Majlis Syura Ulama Pas. Sementara DAP pula mempertanggungjawabkan Jawatankuasa Kerja Pusatnya mengikut garis panduan yang diguna pakai di peringkat antarabangsa untuk menapis calon parti itu. 
 
PKR pula mengesahkan pihaknya masih belum memperincikan berhubung perkara mengenai tapisan calon mereka. Dalam pada itu, kontroversi membabitkan bekas Timbalan Presiden Pas, Nasharudin Mat Isa, akhirnya terungkai apabila Majlis Syura mengesahkan keanggotaannya dalam majlis itu sudah digugurkan. 
 
Menurut Setiausahanya, Datuk Nik Zawawi Nik Salleh, tindakan itu kerana didapati melanggar beberapa peraturan badan tertinggi parti itu. 
 
Keputusan dibuat pada mesyuarat 13 Januari lalu yang dipengerusikan oleh Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat. Nama Nasharudin menjadi sebutan apabila beliau membuat gesaan agar Pas mempertimbang semula keanggotaan dan kerjasama dalam Pakatan Rakyat berikutan pendirian Pengerusi DAP 
 
Kebangsaan, Karpal Singh dalam isu hudud. Beliau juga mengingatkan parti itu agar tidak mengutamakan kuasa semata-mata dan sehingga sanggup meletakkan prinsip Islam di tempat kedua.
 
Sepanjang minggu ini juga, isu kalimah ALLAH masih terus diperdebatkan. Menjauh daripada isu politik, Perdana Menteri Malaysia memberitahu, Malaysia dianggap sebagai antara beberapa negara yang menyinar dalam keadaan ekonomi negara yang tidak menentu. 
 
Perkara itu katanya disuarakan oleh pemimpin pemimpin yang menghadiri Forum Ekonomi Dunia (WEF) 2013 di Davos, Switzerland yang berlangsung selama lima hari bermula 23 Januari lalu.
 
Najib sebelum itu mengadakan lawatan kemanusiaan di Semenanjung Gaza sebelum berlepas ke Davos. 
 
Terbaru muncul cadangan daripada Jawatankuasa Kerja Sekretariat Ulama Muda Malaysia (Ilmu) supaya diadakan satu forum yang mempertemukan ramai cendekiawan dan ulama Islam bagi mencari penyelesaian dalam isu kalimah ALLAH ini.  
 
Menurut Pengerusinya, Fathul Bari Mat Jahaya, forum itu bakal memperlihatkan perkara sensitif yang melibatkan soal akidah dalam agama bukan satu isu perlekeh dan perlu diselesaikan segera.
 
Menurutnya, dengan penglibatan ramai cerdik pandai dan ulama, sudah pasti akan wujud jalan penyelesaian terbaik.

Hiburan:
 
Beberapa hari sahaja lagi pasangan ini bakal menamatkan zaman bujang dan bergelar suami isteri.Saat hati sedang berbunga menanti saat disatukan, siapa sangka kontroversi menyapa penyanyi dan pelakon Liyana Jasmay dan pasangannya, Fathuddin Mazlan ekoran gambar praperkahwinan mereka.
 
Mana tidaknya, aksi 'mesra' yang tersebar luas di internet itu pula mengundang pelbagai kritikan dan tak puas hati pelbagai pihak kerana merasakan babak dalam gambar itu melanggar norma masyarakat timur. 
 
Ibu Liyana, Datin Habsah Simpon meluahkan perasaan kesalnya ekoran penyebaran gambar itu oleh jurugambar terbabit dan menyifatkan ia tidak sepatutnya berlaku apatah lagi gambar untuk koleksi peribadi. 
 
Namun bagi pemilik syarikat fotografi, CandidSyndrome International, yang menaja gambar sesi praperkahwinan itu, beliau sudah serik mahu bekerjasama dengan Liyana. 
 
Menganggap dirinya sebagai ‘mangsa keadaan’, Saiful Nang berharap dirinya tidak terus disalahkan kerana tiada sebarang perjanjian bertulis dibuat sebelum sesi fotografi berjalan. 
 
Sementara itu, misteri kehilangan wang RM50,000 dari akaun pelakon Lisa Surihani terjawab dengan penahanan seorang wanita bagi membantu siasatan. 
 
Wanita berkenaan merupakan seorang kakitangan bank yang telah membatalkan kad ATM Lisa Surihani sebelum membuat salinan baru dan melakukan pengeluaran berjumlah RM50,000 di Kuantan, Pahang sejak awal bulan ini.
 
Selepas melakukan perkara keji tersebut, kakitangan bank wanita itu telah memohon untuk ditukarkan ke cawangan Sabah. Sementara itu, artis seberang, Irwansyah dan isterinya, Zaskia Sungkar antara yang ditahan ketika sedang berpesta dadah di Lebak Bulus, Jakarta Selatan, 20 Januari lalu. 
 
Selain itu, dua artis lain ialah Raffi Ahmad dan Wanda Hamidah yang ditahan bersama 13 lagi ketika sedang berpesta dadah di rumah Raffi. Mereka ditangkap sepasukan anggota Badan Narkotik Nasional (BNN) Indonesia yang menyerbu rumah Raffi pada waktu Subuh setelah mendapat maklumat orang ramai.
 
Negara pada 28 Januari bersedih apabila mendapat perkhabaran kematian legenda sukan badminton negara. Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek menyifatkan pemergian mendiang Datuk Eddy Choong sebagai satu kehilangan besar buat negara.
 
Anak kelahiran Pulau Pinang itu pernah menjuarai kejohanan All-England (acara perseorangan) sebanyak empat kali pada tahun 1953, 1954, 1956 dan 1957. 
 
Dia juga pernah menjuarai Terbuka Malaysia pada tahun 1957 dan 1960.
 
Eddy turut tersenarai di dalam ‘Badminton of Fame’ pada tahun 1997.
 
Dalam pada itu, berita gembira yang diterima jaguh badminton negara Datuk Lee Chong Wei bahawa beliau akan bergelar bapa tidak lama lagi menjadi dorongan semangat kepadanya untuk mencipta lebih banyak kejayaan.
 
Mensyukuri nikmat diberi, Chong Wei  akui dia perlu lebih bijak membahagikan masa antara kerjaya dan keluarga.
 
Minggu lalu juga telah berakhirnya pusingan pertama piala FA.
 
Walaupun masing-masing mempamerkan aksi menarik dan penuh semangat, rasa tidak puas hati di luar padang sama ada melibatkan pemain, pengadil, jurulatih atau penyokong tidak 
dapat dielakkan. 
 
Perlawanan antara Selangor dan ATM berakhir dengan insiden pukul memukul apabila penyerang Selangor, Afiq Azmi dikatakan melakukan provokasi.
 
Pergaduhan tercetus antara pemain kedua-dua pasukan bermula selepas kad merah dilayangkan terhadap pemain tengah Red Giants, Shukur Jusoh yang kemudiannya ditarik balik.
 
Antara pasukan yang layak ke perlawanan kedua ialah pasukan Terengganu, Pahang, Darul Takzim FC dan beberapa pasukan handalan lain. 
 
Dalam pada itu, perkembangan sukan antarabangsa menyaksikan satu saman difailkan ke atas bekas bekas pelumba basikal Lance Armstrong yang baru-baru ini mengaku pernah mengambil dadah menambah prestasi.
 
Saman itu berjumlah AS$12 juta (RM36.2 juta).
 
SCA Promotion mendakwa mereka telah mengambil insurans bonus ke atas Armstrong ketika dia memenangi  gelaran Tour de France  kali keempat, kelima dan keenam.
 
Armstrong mengaku mengambil dadah bagi meningkatkan prestasi dalam tujuh kali penyertaan beliau dalam Tour de France.
 
Perkembangan luar negara. 
 
Kedutaan Besar Malaysia di Algiers pada 26 Januari lalu mengesahkan seorang lagi rakyat Malaysia yang dilaporkan hilang semasa krisis tebusan di Kompleks Pengeluaran Gas dan Minyak (OGPC) In Amenas, timur Algeria, terbunuh.
 
Kementerian Luar dalam kenyataannya berkata mayat Tan Ping Wee telah dikenal pasti pasukan forensik melalui rekod pergigian serta pengesahan 'tatoo' oleh keluarga mendiang.
 
Sementara itu isteri mendiang, Koh Siow Mun, 40-an, enggan ditemu bual kerana masih bersedih tatkala menerima perkhabaran kematian suaminya daripada Wisma Putra.
 
Di Kaherah, 30 maut kerana membantah keputusan mahkamah Mesir semalam, yang menghukum mati 21 orang berkaitan rusuhan di stadium bola sepak awal tahun lalu.
 
Laporan media menyebut penyokong-penyokong defendan cuba menyerbu penjara yang menempatkan mereka yang dihukum mati.
 
Perkembangan itu memburukkan lagi keadaan di Mesir yang berhadapan dengan pertempuran antara polis dan penyokong kumpulan yang menentang kepimpinan Presiden Mohammed Morsi, menyebabkan sekurang-kurangnya tujuh terbunuh dan hampir 500 cedera.
 
Dua anggota polis ditembak mati di luar penjara di Port Said manakala bangunan keselamatan kerajaan pula dibakar. Selain dua anggota polis 28 lagi maut.
 
Antara yang turut terbunuh ialah dua pemain bola sepak iaitu bekas penjaga gol kelab al-Marsy, Tamir al-Fahlah dan pemain kelab Port Said, Muhammad al-Dadhawi.
 
Di Barquisimeto, sekurang-kurangnya 50 telah terbunuh dalam satu rusuhan penjara di sebelah barat wilayah ini pada Ahad.
 
Menurut seorang kakitangan hospital, rusuhan itu tercetus apabila media tempatan menyiarkan berita Pegawai Kanan Penjara, Iris Varela yang berkata, tentera telah dihantar ke Penjara Uribana untuk mengesan senjata.
 
Pengarah hospital Ruy Medina memberitahu agensi berita AFP bahawa kira-kira 90 orang cedera, kebanyakannya akibat luka kerana tembakan.
 
Kematian membabitkan tahanan, pengawal dan pekerja penjara.
 
Sementara itu, seorang pengebom berani mati meletupkan dirinya di sebuah majlis pengebumian yang berlangsung di masjid pengikut Syiah, utara Baghdad serta mengorbankan 42 orang dan 75 yang lain cedera.
 
Insiden itu berlaku pada 25 Januari. 
 
Menurut Datuk Bandar Tuz Khurmatu, Shallal Abdul, berpuluh mayat bertaburan di lantai Masjid Sayyid Al-Shuhada sejurus penyerang meletupkan dirinya.
 
Sementara itu, lelaki yang dahulunya hanyalah seorang remaja kelas pertengahan yang dibesarkan di bandar Boston, Michael Bloomberg terpaksa mengambil pinjaman untuk membayar yuran tuisyennya di Universiti dan bekerja secara sambilan sebagai atendan tempat letak kereta kini berjaya menyumbang sebanyak AS$ 1.1 bilion (RM3.3 bilion).
 
Universiti Baltimore pada 26 Januari mengumumkan bahawa Bloomberg telah menyumbang sebanyak itu. 
 
Beliau akan mencapai usia 71 tahun pada Hari Valentine bulan depan.
 
Bloomberg memperoleh MBA dari Harvard Business School. Beliau telah diambil bekerja oleh firma Wall Street Salomon Brothers pada tahun 1966, lapor biografi beliau di laman web NYC.

No comments: