Sunday, January 27, 2013

Perkasa tidak berhasrat mahu bakar Injil lagi

TERKINI

KUALA LUMPUR — Selepas bantahan dari orang ramai mengenai ugutan membakar kitab Injil minggu lalu, kumpulan Melayu berhaluan kanan Perkasa berkata mereka tidak lagi mahu membakar buku suci itu.
"Kami tidak bercadang lagi untuk bakar (kitab Injil)," kata setiausaha agung Perkasa Syed Hassan Syed Ali memberitahu The Malaysian Insider hari ini.

"Kami tak pernah bercadang untuk anjurkan (bakar kitab Injil)," katanya lagi.

Minggu lalu, pemimpin Perkasa Datuk Ibrahim Ali (gambar) menyeru umat Islam membakar kitab Injil yang mengandungi perkataan "Allah" atau sebarang kalimah Arab.

Ugutan tersebut menimbulkan kemarahan pemimpin bukan Islam, terutamanya ahli politik dan agamawan, yang mengatakan pemimpin berhaluan kanan itu menimbulkan kebencian di kalangan agama dari kalangan dua agama terbesar dianuti di negara ini. Pada Selasa lalu, seorang paderi dari Pulau Pinang membuat laporan polis terhadap dakwaan edaran risalah mengatakan pesta membakar kitab Injil berlangsung di Butterworth, yang sepatutnya berlangsung hari ini.

Tetapi menurut The Star Online, tiada siapa yang menghadiri pesta tersebut.

Syed Hassan berkata beliau mengetahui perkara ini, tetapi ahli Perkasa tidak ada niat untuk menghadiri pesta tersebut.

"Ahli Perkasa tidak mendapat sebarang risalah, jadi saya rasa itu cuma khabar angin untuk membakar kebencian selepas kenyataan Datuk Ibrahim Ali," katanya lagi.

Beliau menegaskan kenyataan Ibrahim cuma "amaran awal" untuk semua mengambil isu "Allah" secara serius.

Syed Hassan juga melaporkan semalam Perkasa mungkin akan mengadakan rundingan meja bulat dengan gereja tempatan untuk membincangkan kenyataan Ibrahim.

Jabatan Kemajuan Agama Islam Malaysia (JAKIM) semalam mengecewakan pemimpin gereja dengan mengeluarkan khutbah Jumaat lalu yang menyeru umat Islam berhati-hati dengan "musuh Islam" yang cuba mengelirukan umat Islam bahawa semua agama berkongsi Tuhan yang sama.

Pemimpin Islam dan Kristian saling bertikam lidah berkenaan isu kalimah "Allah", yang didakwa ekslusif untuk Tuhan umat Islam.

Sebuah gereja dibakar selepas Mahkamah Tinggi memutuskan pada 2009 bahawa umat Islam tidak mempunyai hak ekslusif ke atas perkataan "Allah".

Debat mengenai isu ini dibangkitkan semula bulan lalu selepas setiausaha agung DAP, Lim Guan Eng yang juga merupakan ketua menteri Pulau Pinang, menyeru agar Putrajaya membatalkan semula pengharaman kitab Injil berbahasa Malaysia di sebelah Borneo Malaysia.

Sebuah kumpulan gereja Sabah berkata kebebasan bumiputera Kristian diserang, dan mengatakan majoriti penganut tersebut datang dari negeri tersebut dan menggunakan bahasa Malaysia.

Kumpulan Buddha pula menyeru Jabatan Perpaduan dan Intergrasi Nasional, di bawah Jabatan Perdana Menteri untuk menyelesaikan masalah kalimah "Allah" ini.

No comments: