Penasihat penerbitannya Datuk Ahmad Maslan berkata perkara itu diperuntukkan khas dalam satu bab untuk buku setebal 164 halaman itu.
"Bab menarik dalam buku ini ialah bab soal jawab secara terus terang dan beliau (Rosmah) akan jawab secara terus terang tentang pelbagai isu dan fitnah," katanya.
Jelasnya, ia merupakan salah satu objektif buku yang memuatkan pelbagai gambar, serta menceritakan kisah hidup Rosmah dari kecil sehingga kini.
"Kalau ada 10 objektif (penerbitan buku), salah satu objektifnya ialah nak jawab tohmahan dan ceritakan siapa sebenarnya beliau yang kadang-kadang disalah anggap dan pelbagai tuduhan telah dibuat," katanya.
"Bukan nak jawab tuduhan (semata-mata) tapi untuk gambarkan siapakah sebenarnya Datin Seri Rosmah dan perjuangannya," kata Ahmad Maslan.
Ketika ditanya, Ahmad bagaimanapun enggan menyatakan bentuk dakwaan fitnah yang akan diperjelaskan Rosmah dalam buku berkenaan.
"Kita tunggulah. Kemudian," katanya ketika ditanya pemberita dalam sidang media selepas pelancaran buku yang bakal diterbitkan Yayasan Amanah Perdana Malaysia (YAPM) itu.
Jawapan sama juga diberikan oleh pengerusi YAPM, Shamsulbahrin Ludin yang bertindak sebagai penerbit buku berkenaan.
"Kena tunggulah. Kita tunggu. Apa yang disediakan akan diteliti dan bila selesai akan dijawab," katanya.
Turut hadir dalam majlis pelancaran hari ini ialah perdana menteri Datuk Seri Najib Razak serta Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah.
Sementara itu, Bernama melaporkan pada majlis hari ini, sebuah lagu dicipta khas untuk Rosmah, bertajuk 'Wanita Perdana' didendangkan penyanyi terkenal tanah air, Misha Omar.
Lagu itu dicipta oleh Pak Ngah (Datuk Suhaimi Mohd Zain) dan liriknya nukilan penggiat teater serta pengarah filem dan drama, Rosminah Tahir.
Shamsulbahrin pada sidang media yang sama, berkata buku itu ditulis secara santai dan idea untuk menerbitkannya tercetus ketika beliau berada di London pada Mei lalu untuk menghadiri majlis bersama Perdana Menteri dan isteri di negara berkenaan.
"Ekoran daripada pertemuan tersebut dan melihat laporan yang tersiar di internet, saya mendapati banyak perkara yang dilaporkan bertentangan dengan apa sebenarnya yang terjadi.
"Hasil daripada kesedaran tersebut, saya berunding dengan Datuk Ahmad Maslan untuk merangka gerak kerja bagi menyediakan biografi ini, dengan dibantu dua penulis tersebut untuk menyediakan buku ini melalui proses penyelidikan, temu bual dan temu ramah terutama bersama Datin Seri Rosmah dan orang yang dikenal pasti," katanya.
Shamsulbahrin berkata penyediaan buku tersebut telah selesai dan pada masa ini dalam proses penelitian dan semakan bagi tujuan percetakan.
Dua penulis yang mengusahakan buku berkenaan ialah Siti Rohayah Attan dan Noraini Abdul Razak.
Siti Rohayah berkata terdapat 12 bab dalam buku itu dan memaparkan kehidupan Rosmah sejak zaman kanak-kanak, remaja, zaman persekolahan, universiti, alam pekerjaan, perkahwinan, anak-anak dan keluarga serta kehidupan sebagai isteri pemimpin.
"Terdapat pandangan rakan dan kenalan lama antaranya Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali, rakan-rakan yang dikenali sejak 1964 di Kolej Tunku Kursiah yang mana pada zaman itu, beliau mempunyai empat rakan yang digelar pengetuanya sebagai 'the giddy group', mereka nakal tetapi cerdik dan pintar dan kebanyakan mereka ini adalah orang yang berjaya," katanya.
Katanya beliau mengenali isteri perdana menteri itu sejak awal perkahwinan Rosmah dan Najib, bukan selepas menjadi isteri timbalan perdana menteri atau perdana menteri.
"Kenapa saya bersetuju untuk menulis buku ini, saya menulis buku ini kerana saya sayang Datin Seri Rosmah dan saya mengenali hati budinya. Oleh kerana itu, apabila kita membaca sebuah buku, kita tidak boleh melihat kulit buku itu tetapi dari dalam," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan