SHAH ALAM: Presiden Angkatan Belia Malaysia (ABIM), Amidi Abdul Manan menegaskan bahawa gerakan tersebut masih mengamalkan prinsip 'non partisan' iaitu tidak terikat kepada mana-mana parti politik, seperti yang digembar-gemburkan oleh sesetengah pihak.
Menurut beliau, semua gerakan Islam termasuk ABIM sendiri tidak seharusnya terikat kepada pihak tertentu, apatah lagi dalam usaha untuk menyebarkan dakwah.
"Jadi sekarang ini kita masih mengekalkan perkara yang sama kerana dakwah perlu disampaikan dengan sikap non partisan.
"Sekali lagi saya ingin pertegaskan non partisan ini, kalau mudah untuk kita faham, adalah kita tidak terikat dengan mana-mana pihak.. kalau kita sebut kita tidak menyebelahi, seolah-olah kita ini anti demokrasi.
"Tapi sebenarnya yang setepatnya ialah kita tidak terikat dengan mana-mana pihak, mana-mana parti dan kita bebas untuk menyatakan pandangan kita," jelas beliau semasa membahaskan topik Generasi Muda: Memaknai Rempuhan Globalisasi dalam program Maqasid terbitan Antarapos, baru-baru ini.
Beliau dalam masa yang sama turut mengaitkan kecenderungan generasi muda kini yang dilihat lebih suka mengekspresikan pendapat tanpa terikat kepada mana-mana persatuan atau badan, akan menjadi trend pada masa hadapan.
"Saya kira mungkin pada masa akan datang saya merasakan ada kemungkinan, apabila kita lihat balik masing-masing sudah tidak mahu terikat dengan persatuan.
"Mungkin mereka akan cuba untuk menampilkan diri mereka sendiri sebagaimana kita tengok di 'Facebook' ataupun di mana-mana media internet pun, orang muda suka untuk ekspresikan diri mereka sendiri,"kata beliau.
Justeru katanya, perkara ini harus diambil dari sudut yang positif dan dijadikan pendekatan oleh gerakan Islam dalam usaha mendekati generasi muda seterusnya mempersiapkan diri mereka menghadapi rempuhan globalisasi.
"Dan saya rasa itulah pendekatan yang sebaiknya.. Untuk mendekati orang muda ini, berikan mereka ini kefahaman yang jelas mengenai Islam itu khususnya, dan dalam masa yang sama kita beri ruang untuk menghayati.
"Barulah akan timbul rasa menghargai bahawa agama Islam itulah membentuk diri mereka, memberikan kehidupan yang baik di dunia dan akhirat, Insya-Allah,"jelas beliau.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan