Ahad, 30 Disember 2012

Hasan: Pendakwah jangan terpengaruh dengan politik

 
Beliau mengulas kemunculan anak muda di pentas politik kononnya untuk menyampaikan ajaran Islam.



PETALING JAYA: Bekas  tokoh PAS, Datuk Hasan Ali menasihatkan orang muda yang mahu menjadi pendakwah jangan terpengaruh dengan politik atau mempunyai kepentngan tertentu selain untuk Islam.

Katanya, pendakwah muda perlu mempunyai ilmu pegetahuan yang mencukupi dalam bidang agama Islam.
Beliau juga menegaskan bahawa pendakwah muda mempunyai peranan dan tanggungjawab yang penting dalam membentuk generasi muda menghadapi perubahan zaman ini.

“Saya seronok melihat anak-anak muda ini berdakwah, menyampaikan ilmu bersama-sama membentuk generasi.

“Maknanya mereka ada ilmu, berbakat dan bertrampilan.  Tetapi mereka mesti ikhlas dalam menyampaikan ilmu Islam,” katanya.

Hasan  berkata demikian ketika ditemui di ibu negara ini. Beliau mengulas mengenai kemunculan anak-anak muda di pentas-pentas politik dan sebagainya kononnya untuk menyampaikan ajaran ilmu Islam.

Sesetengah mereka ini pernah menjadi artis hiburan dan selepas menyertai parti politik, mereka mula menjadi pendakwah.

Bagaimanapun, kemunculan mereka ini menjadi perbualan umum  kerana mereka turut menghentam pihak lain yang tidak menyokong perjuangan mereka.

Mengulas lanjut hal ini, Hasan menegaskan,  dalam apa keadaan sekalipun, mereka mesti berpegang kepada konsep dakwah iaitu menyampaikan ajaran Islam.

“Sebab itu saya menegaskan, mereka yang mahu menjadi pendakwah mesti mempunyai tauliah dari pihak berkuasa agama di tempat masing-masing.

“Pihak berkuasa juga perlu memantau supaya anak-anak muda ini tidak menyalahkan pentas politik bagi tujuan tertentu.

“Saya juga bimbang jika mereka mudah terpengaruh dengan politik atau dipengaruhi oleh pemimpin politik untuk kepentingan lain dari agama,” katanya lagi.

Tiada ulasan: