Ahad, 30 Disember 2012

SPR: Tiada arahan henti daftar pengundi di Shanghai

MALAYSIA KINI



 
Suruhanjaya Pilihan Raya menjelaskan bahawa konsulat Malaysia di Shanghai tidak diberi arahan untuk menghentikan pendaftaran pengundi dan masalah yang timbul itu mungkin disebabkan isu teknikal.

Menurut laporan Sin Chew Daily semalam, timbalan pengerusi SPR Datuk Wan Ahmad Wan Omar berkata suruhanjaya itu tidak maklum mengenai perkara itu dan akan membuat susulan dengan kementerian luar.

Minggu lalu, anggota penyokong BERSIH 2.0 Shanghai memberitahu Malaysiakini bahawa konsulat Malaysia menghentikan pendaftaran pengundi sejak Julai.

Kakitangan konsulat itu memberitahu individu berkenaan bahawa mereka "tiada arahan langsung daripada pihak atasan" untuk mengadakan pendaftaran pengundi, walaupun misi Malaysia yang lain berbuat demikian.

Malaysiakini berulang kali cuba mendapatkan penjelasan SPR sejak isu itu pertama kali dilaporkan portal berita ini, namun tiada pegawai SPR yang tampil memberi maklum balas.

Menurut Wan Ahmad beliau masih belum menerima fakta berhubung situasi berkenaan daripada konsulat Malaysia di Shanghai namun menjangkakan bahawa isu mungkin isu teknikal.

Katanya lagi, insiden sama juga pernah berlaku sebelum ini.

Tambahnya, kedutaan Malaysia di Beijing mungkin menghalang konsulat daripada mendaftar pengundi  sekiranya pegawai bertanggungjawab di konsulat bertukar.

Tiada ulasan: