Isnin, 31 Disember 2012

Dakwaan PKR tiada halatuju tidak benar- Yusmadi

Oleh Aidil Syukri Hamzah

Post Pic

SHAH ALAM: Dakwaan yang mengatakan Parti Keadilan Rakyat (PKR) sebagai sebuah parti yang tidak mempunyai ideologi yang sihat serta tiada halatuju yang tepat, disanggah Ahli Parlimen Balik Pulau, Yusmadi Yusoff.
 
Yusmadi menegaskan kewujudan PKR sejak lebih 10 tahun yang lalu sekurang-kurangnya menyumbang kepada banyak perubahan dalam landskap politik negara.
 
“Semenjak kewujudan parti PKR, saya melihat banyak perkembangan baru di dalam politik Malaysia terutama sekali dari segi politik pembangkang di peringkat negeri mahupun di peringkat nasional.
 
“Ini bagi saya merupakan fakta membuktikan bahawa PKR telah berjaya membawa satu sinergi, tenaga baru, di dalam politik di tanahair. Dan mengenai pandangan bahawa PKR ini ideologi yang tidak sihat, saya berpandangan bahawa ia merupakan pandangan peribadi beliau yang bagi saya tidak mewakili kebanyakan penyokong PKR mahupun rakyat kebanyakan,” katanya.
 
Terdahulu, Ahli Jawatankuasa DAP Pulau Pinang, Zulkifli Mohd Noor mendakwa PKR tidak mempunyai halatuju yang sihat dan matlamat yang kabur.
 
Beliau berkata, PKR ditubuhkan pada awalnya untuk membebaskan Ketua Umumnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Kini Ahli Parlimen Permatang Pauh itu sudah bebas dan PKR terus terkapai-kapai untuk berjalan seiring dengan rakan komponennya, PAS dan DAP. 
 
Mengulas dakwaan itu, Yusmadi berkata ia adalah pandangan peribadi Zulkifli yang tidak menggambarkan realiti sebenar.
 
Menyifatkan PKR sebagai satu wadah perjuangan masa hadapan, Yusmadi mendakwa parti tersebut telah berjaya melaksanakan tanggungjawabnya kepada rakyat dengan menjadikan negeri Pulau Pinang sebagai contoh.
 
Masa hadapan negara tegas beliau akan lebih cerah di bawah pentadbiran PKR yang diterajui oleh Anwar yang mempunyai pengalaman luas di dalam mentadbir kerajaan.
 
“Saya berada di lapangan terutama di Balik Pulau sendiri mewakili hampir lebih daripada separuh pulau. PKR berjaya menyantuni keperluan masyarakat di kampung, sehinggalah ke bandar-bandar. Jadi bagi saya ini adalah satu wadah perjuangan masa depan.
 
“Apatah lagi di bawah kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mempunyai pengalaman yang unik, berbeza dengan pemimpin yang lain iaitu (Anwar) pernah berada di dalam kerajaan memimpin negara semasa beliau menjadi Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan,” jelas beliau.
 
Yusmadi juga mengulas dakwaan veteran DAP Pulau Pinang itu yang mengatakan PKR yang diketuai Presidennya, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail tidak mendapat sokongan padu sepertimana DAP dan PAS.  
 
Hakikatnya jelas Yusmadi, parti-parti komponen Pakatan sentiasa membantu di antara satu sama lain bersandarkan kelebihan masing-masing di dalam memperkuatkan persiapan mereka menghadapi BN.
 
“Bagi saya itu sekali lagi dakwaan peribadi beliau yang tidak menggambarkan gambaran sebenar di akar umbi kerana contohnya macam saya di Parlimen Balik Pulau sendiri, kita sentiasa bantu-membantu dari segi kekuatan Pakatan kerana masing-masing mempunyai kekuatan tersendiri..
 
“Bagi saya ini ialah satu politik baru yang mana saya katakan politik muafakat yang mana semua pihak perlu berkolaborasi dan berinteraksi untuk agenda yang lebih besar untuk rakyat,” jelasnya lagi.
 
Yusmadi kemudian sempat menasihati Zulkifli agar memberikan pandangan yang lebih bernas yang menyumbang kepada keteguhan kerjasama Pakatan Rakyat dan bukannya sebaliknya. 
 
“Selaku orang politik berpengalaman, saya rasa beliau sepatutnya lebih arif keadaan sebenar di lapangan yang mana pada pandangan saya sekarang ialah politik baru..bukan politik lama,” katanya.

Tiada ulasan: