Sabtu, 29 Disember 2012

Khairy mungkin saman Chegu Bard

 
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tulisan Badrul Hisyam yang meminta Khairy memberi penjelasan mengenai hutang Agro Bank.



PETALING JAYA: Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin mungkin  mengambil tindakan undang-undang terhadap Penyelaras Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Badrul Hisyam Shahrin yang mendakwa beliau tidak membayar pinjaman berjuta ringgit dengan Agro Bank.

Ahli Parlimen Rembau itu berkata, beliau sedang berbincang dengan peguam untuk langkah susulan.
“Tuduhan beliau tidak benar. Tidak tolak kemungkinan tindakan undang-undang terhadap beliau (Badrul Hisyam),” kata Khairy melalui SMS hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tulisan Badrul Hisyam yang meminta Khairy  memberi penjelasan mengenai hutang Agro Bank yang belum dibayar.

Badrul Hisyam yang lebih dikenali dengan panggilan Chegu Bard mendakwa, pinjaman tersebut diperolehi Khairy semasa bapa mertuanya, Tun Abdullah Ahmad Badawi menjadi perdana menteri.

Pemimpin muda PKR itu juga mendakwa beliau mendapat maklumat berdasarkan dokumen yang setelah diperiksa diyakini sahih mengenai perkara tersebut.

Mohon penjelasan

“Ketika terlalu ramai mereka yang terlibat dalam bidang pertanian bermasalah untuk mendapat kemudahan pinjaman, persoalanya kini bagaimana pinjaman bernilai jutaan ringgit tersebut boleh diperolehi dengan mudah, adakah pinjaman tersebut dikeluarkan dan digunakan berdasarkan syarat pinjaman Agro Bank?” kata Badrul dalam blognya.

Berikutan itu, beliau memohon Khairy memberikan  penjelasan mengenai perkara itu.

“Jika ini semua benar wajarlah pimpinan BN bersungguh-sungguh mengelak untuk membuat pengisytiharan awam harta milikan mereka dan keluarga.

“Bagaimana pula rekod pembayaran kemudahan pinjaman ini , jika dalam keadaan biasa ramai dikejar kerana gagal membayar hutang.

“Anak muda terpaksa sorok kereta hanya kerana tiga bulan gagal membuat bayaran, ramai anak muda muflis hanya puluhan ribu pinjaman tetapi bagaimana dengan pinjaman jutaan menantu (bekas) Perdana Menteri ini?

“Bagaimana dengan faedah pinjaman yang dikenakan pula? “kata Chegu Bard lagi

Tiada ulasan: