KUALA LUMPUR- Ketidaktentuan, bukan perubahan politik akan memberikan impak yang lebih besar kepada pasaran saham selepas pilihan raya umum ke-13, kata para penganalisis.
Fellow Kanan Institut Kajian Sosioekonomi dan Alam Sekitar (SERI), Dr Michael Lim Mah Hui memberi amaran bahawa persekitaran yang huru-hara, pertikaian sensitif dan sentimen negatif akan mempunyai lebih banyak kesan serius berbanding dengan prospek Pakatan Rakyat (PR) mengambil alih Putrajaya.
“Saya tidak bersetuju pasaran saham merudum jika berlaku perubahan kuasa atau keputusan pilihan raya tidak memihak kepada kerajaan sedia ada.
“Kalau kerajaan baru lebih bersih, ia lebih baik untuk pasaran saham.
Isu utama ialah mengelak ketidakpastian (uncertainty),” katanya kepada The Malaysian Insider.
Minggu lepas, Nomura Equity Research berkata ketidaktentuan pilihan raya umum akan datang akan mempengaruhi pasaran ekuiti Malaysia pada separuh kedua tahun hadapan.
Sebaliknya, Lim menekankan bahawa pelabur lebih cenderung untuk menjadi takut dengan ketidakpastian seperti menakut-nakutkan menggunakan isu-isu seperti kaum dan agama.
Beliau tidak bersetuju demonstrasi atau perhimpunan yang sering dianjurkan oleh PR menjelang pilihan raya akan menakutkan pelabur pasaran saham.
“Demonstrasi dan huru-hara adalah berbeza. Huru-hara menakutkan pelabur, demonstrasi secara aman tidak,” terang beliau.
Melihat kepada prestasi PR di empat negeri seperti Selangor, Pulau Pinang, Kedah dan Kelantan, Lim tidak merasakan akan ada masalah jika PR mengambil alih Putrajaya.
“Kerajaan yang lebih bersih akan memberikan kesan positif kepada pasaran saham,” katanya.
Dalam pada itu, Lim menegaskan kerajaan perlu mengambil langkah drastik mengatasi peningkatan pengeluaran wang haram daripada laporan Global Financial Integrity (GFI) berbanding membuat spekulasi mengatakan pasaran saham akan jatuh jika berlaku perubahan kuasa.
“Daripada membuat spekulasi mengatakan pasaran saham akan jatuh jika berlaku perubahan kuasa lebih baik mereka atasi pengeluaran wang haram,” katanya.
Laporan terkini Global Financial Integrity (GFI) menunjukkan Malaysia berada di tangga kedua paling buruk dalam pengeluaran wang haram pada 2010, dan satu-satunya negara mengalami tercorot menyaksikan peningkatan sekali ganda antara 2009 dan 2010.
Jumlah wang haram meningkat 111 peratus daripada US$30.4 bilion (RM93.17 bilion) pada 2009 kepada US$64.38 bilion pada 2010.
Ketua Ahli Ekonomi RAM Holdings Bhd, Dr Yeah Kim Leng juga bersetuju dengan Lim apabila memberitahu pasaran saham akan kembali dalam keadaan sedia kala walaupun berlaku peralihan kuasa di Putrajaya selepas PRU Ke-13.
“Ia bergantung kepada kepada pentadbiran baru yang memerintah, ia yang akan menentukan hala tuju pasaran saham sama ada lebih baik ataupun tidak,” terang beliau kepada The Malaysian Insider.
Selain dari memberi amaran mengenai ketidaktentuan, Penyelidikan Nomura juga meramalkan kedudukan prestasi Malaysia tahun depan sebagai “kekurangan berat badan” — status yang diberikan kepada pasaran yang dijangka tidak baik — bersama-sama dengan negara-negara lain di Asia Tenggara kecuali Singapura.
“Kami berfikir bahawa kebimbangan mengenai keputusan pilihan raya akan menyebabkan pasaran mundur kebelakang,” kata penganalisis Penyelidikan Nomura untuk strategi Asia, Michael Kurtz.
“Malaysia adalah salah satu pasaran ... dimana bentuk kerajaan, orientasi reformasi, dan niat fiscal kerajaan memberi kesan besar dalam prestasi ekonomi. “
Menurut Nomura, melengahkan pilihan raya secara berterusan dan persepsi ketidakstabilan politik menyebabkan pasaran saham Malaysia tidak terjual dan volatiliti melampau dalam harga ekuiti.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan