Rabu, 26 Disember 2012

Pemimpin gereja gembira dengan janji Najib, tetapi bimbang tidak dilaksanakan



Najib menyebut kebenaran masyarakat Kristian untuk ke Jurusalem adalah satu bukti kerajaan mengiktiraf kepentingan masyarakat Kristian kepada negara. – Gambar fail
PETALING JAYA – Pemimpin gereja gembira dengan janji Datuk Seri Najib Razak kepada masyarakat Kristian, tetapi bimbang tidak dilaksanakan kerana halangan dari elemen konservatif dan pelampau dalam parti dan kerajaannya.

Najib berkata kepada masyarakat Kristian di Malaysia sempena Hari Krismas semalam bahawa kerajaan mengiktiraf mereka sebagai penting dalam negara, berjumlah sembilan peratus dari jumlah penduduk negara berjumlah 28 juta orang.

“Saya berharap ia bukan dari dirinya sahaja, tetapi semua bahagian kerajaannya,” kata pengerusi Persekutuan Kristian Malaysia (CFM), Datuk Ng Moon Hing kepada The Malaysian Insider.
CFM, badan yang menggabungkan seluruh mazhab Kristian negara ini, menganjurkan sambutan Hari Krismas tahunan yang dihadiri oleh semua pemimpin politik.

Pandangan Ng turut dipersetujui oleh Tan Sri Murphy Pakiam, Uskup Agung Roman Katolik di Archdiocese Kuala Lumpur yang berkata perdana menteri memerlukan keberanian dan keazaman untuk menepati janjinya.

“Kita berharap beliau dapat gerakkan seluruh pasukannya,” kata Pakiam.

Pemimpin gereja bersetuju kehadiran Najib di dalam majlis Krismas itu adalah satu tindakan baik untuk masyarakat Kristian, tetapi semua itu tidak berguna jika beliau gagal berhadapan dengan golongan pelampau dalam partinya.

“Apa yang membimbangkan masyarakat Kristian ialah kerajaan tidak lantang menentang golongan pelampau tentang pandangan mereka,” kata Hermen Shastri, setiausaha agung untuk Gabungan Gereja Malaysia (CCM).

CCM adalah badan yang menyatukan seluruh mazhab Kristian dan organisasi ini adalah sebahagian dari Persekutuan Kristian Malaysia (CFM) yang mewakili 90 peratus dari 2.8 juta penganut Kristian di negara ini.

Tahun lalu, akhbar milik Umno, Utusan Malaysia menyiarkan laporan bertajuk “Kristian Agama Rasmi?” di mana ia mendakwa pemimpin DAP dan pemimpin gereja bekerjasama untuk mengambil alih Putrajaya, dan menghapuskan Islam sebagai agama Persekutuan serta melantik perdana menteri Kristian.

Selepas laporan tersebut, kumpulan berhaluan kanan Melayu Perkasa dan presidennya Datuk Ibrahim Ali mengugut masyarakat Kristian seluruh negara untuk mengisytiharkan jihad (perang) ke atas mana-mana kumpulan yang mahu menggantikan Islam dengan Kristian sebagai agama rasmi.

Najib kemudiannya bertemu dengan pemimpin gereja untuk memulihkan keadaan tetapi Menteri Dalam Negeri hanya memberi surat amaran kepada laporan yang tidak berasas.

Shastri berkata dengan tidak mengambil tindakan tegas kepada puak pelampau ini, ia akan menyukarkan rancangan yang diingini Perdana Menteri untuk dicapai.

Pemimpin gereja juga menyenaraikan beberapa isu yang melibatkan masyarakat Kristian yang belum disampaikan kepada kerajaan, dengan berharap Najib akan serius untuk tidak meminggirkan masyarakat tersebut.

“Kami rasa terdapat beberapa isu yang kerajaan perlu berdepan apabila berhadapan dengan masyarakat Kristian,” kata Phillip Lok, seorang uskup Gereja Lutheran Malaysia.

“Kita menghadapi kesukaran berhadapan dengan birokrasi. Terdapat beberapa kesukaran yang kelihatan (dalam polisi), tetapi polisi itu diterjemahkan dengan gaya berbeza,”

Ng menyenaraikan beberapa masalah yang dihadapi masyarakat, antaranya isu kekurangan tanah untuk tempat beribadat.

Menurut beliau, gereja tidak mempunyai tanah yang diberikan oleh kerajaan, menyebabkan mereka sukar untuk mempunyai tanah perkuburan dan gereja untuk pertambahan penganutnya.

Seorang Uskup Anglican juga mendedahkan kesukaran untuk memperbaharui lesen sekolah mubaligh, dan sering tidak dibenarkan melanjutkan lesen tersebut.

“Kerajaan tidak mengambil perhatian terhadap sekolah ini, kerana sekolah mubaligh ini diuruskan oleh lembaga mubaligh,” katanya menambah kerajaan enggan berunding dengan lembaga tersebut apabila melantik guru besar dan pengetua untuk sekolah-sekolah mubaligh.

“Ia dilihat sangat buruk kepada kerajaan,” kata Ng. Pakiam mendakwa pelanggaran ke atas hak orang Kristian berlaku dengan kebiasaan.

“Isu Allah kita sudah bersetuju dan tidak akan mencetuskan perkara ini pada masa hadapan,” kata Lok lagi.
Semalam, setiausaha agung DAP Lim Guan Eng mahu kerajaan membenarkan penggunaan perkataan “Allah” di dalam kitab Injil, jika kerajaan mahu menunjukkan kepentingan rakyat diutamakan.

“Ia mungkin kecil, tetapi ia melibatkan semua orang,” kata Ng.

Lok bagaimanapun berkata tentang harapan masyarakat Kristian dari perdana menteri.
“Ucapannya menyenangkan hati, kehadirannya menunjukkan kerajaan ikhlas dalam membina hubungan dengan masyarakat Kristian.

“Selagi kita terbuka untuk berdialog, kita boleh dapat menyelesaikan cabaran. Ini normal bagi negara berbilang kaum seperti di Malaysia,” kata Lok.

“Ia mengambil masa, kami faham, tetapi beliau perlu bersungguh-sungguh mencapainya,” kata Pakiam mengatakan siapa yang mengetuai kerajaan pada pilihan raya akan datang perlu menjaga kebajikan masyarakat tersebut.

Semalam, Najib memberi jaminan masyarakat Kristian di Malaysia bahawa kerajaannya tidak melupakan masyarakat tersebut walaupun perasaan diketepikan dikalangan mereka meningkat.

“Saya tidak mahu jadi perdana menteri untuk sesetengah golongan sahaja dalam masyarakat. Saya adalah perdana menteri untuk seluruh rakyat Malaysia, dan saya telah ulanginya beberapa kali,” kata Najib kepada masyarakat Kristian.

Najib menyebut kebenaran masyarakat Kristian untuk ke Jurusalem adalah satu bukti kerajaan mengiktiraf kepentingan masyarakat Kristian kepada negara.

Baru-baru ini masyarakat Kristian dan Islam bertikam lidah mengenai isu perkataan “Allah”, dimana masyarakat Islam mengatakan “Allah” eksklusif untuk agama mereka kerana Islam menyembah Tuhan yang satu, dan “Allah” bermaksud Tuhan untuk orang Islam.

Kristian bagaimanapun mengatakan “Allah” ialah perkataan Arab yang digunakan oleh agama lain, termasuk Judaisme, dengan merujuk kepada Tuhan, terutamanya di negara Arab dan Indonesia.

Kumpulan konservatif Islam juga menuduh masyarakat Kristian cuba untuk memurtadkan Melayu, menjadikan hubungan tegang antara penganut kedua agama ini.

Tiada ulasan: