Ahad, 30 Disember 2012

Panel khas pantau Bukit Setiawangsa


SINAR HARIAN
Puncak Setiawangsa bergegar
Keadaan benteng konkrit yang pecah sehingga menyebabkan berlakunya runtuhan tanah.
 
KUALA LUMPUR - Satu jawatankuasa khas di bawah Jabatan Kerja Raya (JKR) bagi memantau tanah runtuh di kawasan Puncak Setiawangsa di sini telah ditubuhkan, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata, jawatankuasa itu dianggotai pelbagai agensi termasuk Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Institut Kerja Raya Malaysia.

Beliau berkata, pasukan keselamatan dan kerajaan tempatan juga memantau 24 jam di kawasan tanah runtuh itu.

"Kita akan dapatkan laporan lengkap mengenai perkembangan semasa terhadap keselamatan dan struktur tanah di sini.

"Kita ambil iktibar apa yang berlaku di sini. Dahulu di sekitar kawasan ini, berlaku tanah runtuh di (apartmen) Highland Towers. Jadi kalau boleh kita tidak mahu ianya berulang lagi," katanya.

Muhyiddin berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau keadaan di kawasan tanah runtuh di Puncak Setiawangsa di sini.

Dalam kejadian Jumaat lepas, insiden tanah runtuh berlaku di lereng bukit di Puncak Setiawangsa mengakibatkan 106 penghuni rumah banglo, rumah teres dan rumah kedai diarahkan berpindah.

Muhyiddin menyarankan kepada agensi dan pihak  berkuasa tempatan agar turut memantau kawasan lereng bukit atau kawasan tinggi yang lain di seluruh negara berikutan musim tengkujuh ini.

Mengulas mengenai perkembangan terkini kawasan tanah runtuh tersebut, beliau berkata sebuah unit rumah banglo akan dirobohkan oleh DBKL bagi mengelakkan keadaan tanah menjadi berat dan menjejaskan keselamatan penduduk dan bangunan di bawah kaki bukit tersebut.

"Bila-bila masa akan dirobohkan. Ini bergantung kepada perbincangan antara pemaju perumahan dan DBKL," katanya.

Beliau berkata, satu laluan alternatif sedang dibina untuk membolehkan penduduk di kawasan ini keluar masuk ke perumahan mereka untuk mengambil barang keperluan dan harta benda.

Muhyiddin turut memberi jaminan bahawa keselamatan harta benda penduduk akan sentiasa dijaga kerana polis telah menempatkan anggota serta membuat rondaan 24 jam.

"Apa yang penting ketika ini adalah faktor keselamatan lebih diutamakan dari harta benda. Saya syukur tiada kes kemalangan jiwa, fizikal dan sebagainya berlaku," katanya.

Muhyiddin dan isteri Datin Seri Norainee Abd Rahman yang tiba di bilik gerakan sementara polis di Persiaran Bukit Setiawangsa pada kira-kira 4.30 petang turut meninjau kawasan runtuhan di bahagian bawah yang terletak 70 meter dari bilik gerakan itu sebelum meninjau operasi bilik gerakan itu.

Timbalan Perdana Menteri dan isteri turut diberikan taklimat oleh seorang pegawai polis Ibu Pejabat Daerah Sentul dan meninjau pasukan keselamatan lain yang turut bertugas menjaga keadaan di kawasan terbabit termasuk Jabatan Pertahanan Awam (JPAM), Rela, Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur.

Muhyiddin kemudian menaiki kenderaan dibawa meninjau dengan lebih dekat kawasan terjejas di Puncak Setiawangsa selama kira-kira 20 minit. - Bernama

Tiada ulasan: