DETIK DAILY
Bahang
pilihan raya umum ke-13 kian terasa tatkala hayat pemerintahan BN akan
berakhir pada awal tahun hadapan. Tatkala Perdana Menteri masih
teragak-agak untuk membubarkan parlimen, BN masih tercari-cari rentak untuk terus mengekalkan popularitinya di kalangan rakyat. Nampaknya umpan-umpan material yang ditawarkan dalam Bajet 2013 gagal mempengaruhi majoriti rakyat. Hasil kaji selidik menunjukkan populariti Perdana Menteri hanya melonjak 1 peratus sahaja selepas Bajet 2013 dibentangkan di Parlimen. Di masa yang sama, isu-isu baru membabitkan teraju pimpinan BN timbul satu demi satu.
Komen-komen pedas bekas pegawai tinggi kerajaan terhadap kepincangan pentadbiran kerajaan BN di peringkat pusat juga tidak membantu meningkatkan imej BN. Di masa yang sama serangan demi serangan yang dihadapkan kepada kerajaan-kerajaan negeri diterajui Pakatan Rakyat semakin tumpul apabila laporan Ketua Audit Negara 2011 menunjukkan prestasi kerajaan negeri Selangor, Pulau Pinang, Kelantan dan Kedah dalam pelbagai aspek lebih baik berbanding negeri-negeri yang ditadbir BN.
Dalam keadaan gundah gulana inilah, maka BN khususnya Umno berusaha keras untuk mencipta isu bagi terus mempalitkan imej negatif kepada Pakatan Rakyat. Setelah gagal memecahkan perpaduan yang kuat terjalin antara PAS, DAP dan KeADILan, serangan kini dihadapkan kepada PAS.
Namun 'peluru' yang digunakan Umno hanyalah isu-isu lapuk yang diulang-ulang bagi menggambarkan PAS sebagai parti yang intolerans, jumud, ekstrem dan tidak sesuai berperanan dalam masyarakat Malaysia yang pelbagai kaum dan agama.
Oleh kerana itulah media massa kongkongan BN kini menggembar-gemburkan isu "Amanat Haji Hadi" yang telah pun berkubur lebih dua dekad lalu. Tujuannya satu; untuk menghidupkan kembali isu kafir mengkafir yang pernah menjadi polemik pada pertengahan dekad 1980-an. Apa yang lebih dikesalkan, isu yang telah diredakan oleh Raja-raja Melayu ini digembar-gemburkan pula dengan bantuan segelintir mufti yang rela diperalatkan Umno.
Dalam keghairahan memainkan isu-isu lapuk untuk menyerang PAS, Setiausaha Perhubungan Umno Selangor secara tiba-tiba meminta DAP tidak lagi membangkitkan kesilapan yang dilakukan Umno/BN negeri itu ketika mentadbir Selangor atas alasan BN negeri telah pun dihukum rakyat pada pilihan raya umum 2008.
Jika rayuan Umno Selangor itu patut dilayan, mengapa pula Umno beriya-iya memainkan isu lama yang tidak mempunyai sebarang merit dan telahpun lapuk ditelan zaman.
Umum mengetahui bahawa wujud usaha untuk memperdebatkan isu "Amanat Haji Hadi" itu ketika ia begitu hangat dipopularkan Umno dan BN. Debat yang dicadangkan Umno itu kemudiannya diubah kepada muzakarah. Walaupun kedua-dua pihak - Umno dan PAS - telah membariskan tokoh-tokoh agamawan masing-masing untuk melangsungkan muzakarah itu, namun ianya dibatalkan oleh Majlis Raja-Raja melalui pengumuman Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja.
Dan bukan menjadi satu rahsia lagi bahawa punca sebenar pembatalan muzakarah itu adalah kerana ketidakyakinan para agamawan Umno untuk berhadapan dengan pemimpin PAS.
Sehubungan itu, usaha menghidupkan kembali isu lapuk ini sebenarnya akan membuatkan Umno umpama "menampar air didulang, terpercik ke muka sendiri". Ia akan mendedahkan bagaimana tali jerat yang dipasang Umno bagi menjerat PAS akhirnya menjerat kaki sendiri ekoran keghairahan memburuk-burukkan lawan politik.Editorial Harakah
Tiada ulasan:
Catat Ulasan