Sabtu, 29 Disember 2012

Rebat: MBM pertahan had harga telefon pintar

SINAR HARIAN

KUALA LUMPUR - Golongan belia dinasihatkan memahami bahawa tujuan di sebalik pemberian rebat RM200 oleh kerajaan adalah bagi membantu mereka yang kurang berkemampuan memiliki telefon pintar.

Presiden Majlis Belia Malaysia, Mohamed Maliki Mohamed Rapiee berkata, belia yang mampu membeli telefon pintar berharga lebih RM500 tidak perlulah memohon supaya peluang terbuka kepada belia lain yang kurang mampu memenuhi kuota 1.5 juta orang di bawah tawaran Pakej Komunikasi Belia itu.

 "Jika mampu beli telefon pintar berharga RM1,000 hingga RM2,000, tidak perlulah mengharapkan bantuan kerajaan beli telefon. Ramai lagi belia lain yang perlukan bantuan ini.

"Belia perlu belajar tengok keperluan (rakan) yang lain, bukan tengok keperluan kita sendiri sahaja," katanya kepada Bernama hari ini.

Mohamed Maliki mengulas keresahan kalangan belia mengenai pengumuman kerajaan memberi rebat itu yang hanya untuk pembelian telefon pintar berharga sehingga RM500.

Menurut belia berkenaan, telefon pintar dalam lingkungan harga tersebut tidak mempunyai fungsi yang mereka kehendaki dan meminta rebat RM500 itu dinaikkan.

Dua hari lepas, Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Datuk Mohamed Sharil Tarmizi berkata bahawa telefon pintar 3G yang boleh dibeli melalui Pakej Komunikasi Belia itu untuk mendapatkan rebat RM200, hanyalah bagi telefon berharga sehingga RM500.

Mengumumkan rebat tersebut ketika membentangkan Bajet 2013 September lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata ia sebagai usaha kerajaan memberi 1.5 juta belia akses kepada gerbang maklumat dengan peruntukan RM300 juta bagi tujuan berkenaan.

Mohamed Maliki berkata, golongan belia perlu melihat keperluan sebenar mereka yang mahu dipenuhi kerajaan di bawah pakej tersebut, iaitu memberi kemudahan internet berkelajuan tinggi 3G bukannya untuk memenuhi kehendak mereka memiliki gajet berteknologi tinggi.

Beliau berkata, bukanlah telefon pintar berharga RM1,000 atau RM2,000 sahaja yang boleh memberi akses 3G ini, malah telefon pintar berharga di bawah RM500 juga boleh berbuat demikian.

"Setiap belia perlu sedar kemampuan kewangan kerajaan ada hadnya. Tidaklah boleh sewenang-wenangnya memberi subsidi kepada semua belia. Perlu ada kewajarannya dalam memberi bantuan ini," katanya.

Setiausaha Agung Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Ma'amor Osman berkata, kerajaan perlu memantau ketat kriteria pemilihan bagi memastikan hanya mereka yang benar-benar layak sahaja mendapat bantuan.

"Kalau dah mampu beli telefon pintar barharga sampai RM2,000 tidak perlulah bantuan kerajaan lagi," katanya.

Ma'amor berkata, selain pembelian telefon pintar, belia perlu melihat kepada kos yang perlu ditanggung selepas memiliki telefon itu seperti membayar bil telefon dan internet.

"Belilah telefon ikut keperluan kita. Pakej 3G ini pelbagai, jangan ikutkan perasaan sampai RM100 sebulan bayar bil kerana mahu internet kelajuan tinggi tapi akhirnya tidak mampu bayar," katanya.

Tinjauan Bernama di beberapa buah kedai menjual telefon pintar mendapati terdapat lebih 20 jenis model telefon pintar mempunyai fungsi 3G dan berharga kurang daripada RM500 sebuah.

Seorang peniaga peralatan komunikasi di Low Yatt Plaza di sini, Chung Wai Kit berkata, kedainya pada masa ini menawarkan lapan model telefon pintar yang mempunyai fungsi 3G.

Beliau berkata, tidak guna membeli telefon mahal jika tidak menggunakan semua fungsi yang ada di dalam alat komunikasi tersebut. - Bernama

Tiada ulasan: