Khamis, 27 Disember 2012

Jurukamera rugi RM20,000

Wartawan Sinar Harian

Jurukamera rugi RM20,000
 Abd Rahman menunjukkan rumahnya yang berselerak selepas dipecah masuk, kelmarin.
 
SEREMBAN – Jurukamera Radio Televisyen Malaysia (RTM) terpaksa menanggung kerugian sehingga RM20,000 apabila rumahnya di Taman Telawi Paroi dipecah masuk, petang kelmarin.

Abd Rahman Ibrahim, 50-an berkata, kejadian disedari kira-kira jam 5.30 petang kelmarin, sewaktu dia dan isterinya baru pulang dari bercuti di Kedah tiga hari lalu.

Katanya, sewaktu kejadian, tiada sesiapa di rumah kerana mereka sekeluarga pulang bercuti di kampung pada hari Ahad.

“Setibanya di rumah, saya dapati keadaan berselerak dan bertaburan tidak seperti asal.

“Beberapa barang berharga milik saya hilang, antaranya dua komputer riba, tiga kamera video dan lapan telefon bimbit.

“Kesemua barangan berharga ini berjaya diambil pencuri tersebut walau pun disorokkan di tempat yang difikirkan selamat dalam rumah itu,” katanya kepada Sinar Harian.

Katanya, penjenayah tersebut dipercayai masuk melalui pintu belakang berikutan terdapat kesan pecah di bahagian tombol pintu dan selak.

Jelasnya, ini merupakan kejadian pertama berlaku, bagaimanapun tiga tahun lalu, kereta yang diparkir di depan rumahnya juga pernah dipecah masuk.

Berikutan insiden tersebut, Abd Rahman membuat laporan di Balai Polis Paroi dan Ibu Pejabat Polis Daerah Seremban.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Saiful Azly Kamaruddin ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan mengenai kejadian berkenaan.

Tiada ulasan: