Rabu, 26 Disember 2012

Jangan terpedaya arahan hadir ke AGM

KL TODAY

 

KUALA LUMPUR: Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) mendedahkan, terdapat usaha pihak tertentu mengarahkan perwakilan hadir ke Mesyuarat Agung (AGM) Koperasi Permodalan Felda (KPF) esok walaupun mahkamah telah mengarahkan ia dibatalkan. 

Presidennya, Mazlan Aliman berkata,beliau mendapat maklumat, pengurus-pengurus Felda diarahkan supaya membawa para perwakilan ke Dewan Perdana Felda, Jalan Semarak esok untuk menghadiri AGM KPF.

“Saya terima maklumat, Pengarah Besar Felda, Faizoull Ahmad telah arahkan pengurus-pengurus Felda bawa perwakilan ke AGM esok walaupun ia telah dibatalkan oleh mahkamah,” kata beliau kepada Harakahdaily hari ini.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Isnin lalu membenarkan permohonan KPF agar mahkamah membatalkan AGM KPF ke-31, esok.

Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) juga akan mengeluarkan surat pemberitahuan kepada pengurus Felda berhubung pembatalan AGM tersebut.

Justeru Mazlan menyifatkan arahan itu sebagai menghina mahkamah dan menggambarkan sikap terdesak individu yang berkepntingan dalam Felda.

“Mereka telah menghina mahkamah dan tidak akur pada keputusan mahkamah berhubung perkara ini pada 24 Disember lalu,” tegasnya yang juga Pengerusi Lajnah Tanah dan Pembangunan Wilayah PAS Pusat.

Beliau turut mengingatkan para perwakilan tidak menurut arahan yang menghina mahkamah itu dan menggesa perwakilan yang menerima rahan tersebut membuat laporan polis.

“Saya ingatkan para perwakilan, jangan dengar arahan tersebut kerana ia jelas menghina mahkmah.

“Sesiapa yang menerima arahan tersebut boleh buat laporan polis dengan segera,” katanya lagi.

Anak sebelum ini mempertikai keputusan Panel Rujukan pertikaian SKM membatalkan AGM KPF yang diadakan pada 20 Jun lalu.

SKM mengeluarkan surat pada 4 Disember lalu, mengarahkan KPF mengadakan AGM ke-31, bersama surat kuasa yang menyatakan AGM pada 20 Jun lalu tidak sah dan AGM akan dipanggil oleh SKM.

AGM KPF yang kan dikendalikan SKM itu sepatutnya berlangsung esok tetapi telah dibatalkan mahkamah.

Tiada ulasan: