Ahad, 30 Disember 2012

Aktivis mogok lapar botakkan kepala



 
Lebih 10 orang aktivis Himpunan Hijau yang menyertai mogok lapar hari ini membotakkan kepala mereka sebagai salah satu tanda protes ke atas projek yang didakwa memudaratkan kesihatan awam.

Jurucakap penganjur, Tan Woen Tian berkata, tindakan 10 orang lelaki dan seorang wanita yang membotakkan rambut itu juga menggambarkan bahawa manusia akan balik ke pangkal jalan untuk memulakan hidup baru.

"Kesemua 11 orang merupakan penganjur mogok lapar ini. Kita botakkan kepada ini sebagai tanda protes selain daripada mogok lapar 100 jam.

"Ia juga sebagai tanda manusia akan balik ke pangkal jalan untuk memulakan hidup baru sempena tahun baru," katanya ketika ditemui Malaysiakini.

Acara membotakkan kepala itu diadakan di taman berhadapan bangunan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) - bersebelahan Dataran Merdeka pada jam 2 petang dan berakhir jam 3 petang.

Seorang sami Buddha turut dijemput bagi menggunting rambut semua peserta.

Rambut peserta berkenaan kemudiannya dibotakkan menggunakan mesin oleh tiga orang tukang gunting rambut.

Tindakan individu berkenaan menarik perhatian orang ramai dan pelancong di kawasan tersebut yang turut merakam gambar mereka.

Kumpulan itu merupakan sebahagian daripada seramai kira-kira 30 peserta mogok lapar yang menggelarkan diri mereka sebagai Anak Muda Menentang Projek-projek Memudaratkan Alam Sekitar.

Sejak hari Khamis lalu, individu terbabit menahan diri daripada makan dan hanya minum air dalam mogok lapar yang masuk 68 jam sehingga jam 4 petang ini.

Protes itu dibuat untuk meningkatkan kesedaran orang ramai terhadap projek-projek seperti loji nadir bumi Lynas, loji penapis minyak Pengerang, projek empangan mega Sarawak, pelombongan emas sianida di Bukit Koman, dan projek kabel ketegangan tinggi Rawang.

Secara khususnya, mereka menuntut agar lesen operasi sementara (TOL) loji Lynas di Gebeng, Pahang ditarik balik pihak berkuasa dan laporan penilaian impak alam sekitar (DEIA) Lynas didedahkan kepada umum sebelum sebarang pertimbangan untuk mengeluarkan TOL dibuat kerajaan.

Tiada ulasan: