Ahad, 30 Disember 2012

S'gor akan sekat urusniaga tanah LTAT jika langgar prosedur

MALAYSIA KINI


 
Kerajaan Selangor akan menyiasat dan seterusnya menyekat urusniaga melibatkan tanah seluas 200 ekar di Bukit Raja yang dikatakan akan diperolehi Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) dengan harga RM130 juta, sekiranya berlaku pelanggaran prosedur.

LTAT melalui sayap pelaburannya Boustead Holdings Berhad pada hari Khamis lalu mengumumkan bahawa ia akan membeli tanah tersebut daripada Awan Megah (M) Sdn Bhd – syarikat ketua Wanita Selangor Datuk Raja Ropiaah Raja Abdullah.

Tanah berkenaan menjadi perhatian ekoran kes di mahkamah antara ahli perniagaan kontroversi Deepak Jaikishan dan pemimpin Umno tersebut.

Dalam satu kenyataan hari ini, setiausaha politik menteri besar Selangor Faekah Husin berkata menteri besar tersebut telah mengarahkan Pengarah Tanah dan Galian Selangor untuk memantau sebarang bentuk transaksi yang melibatkan hartanah berkenaan.

"Sekiranya kita dapati berlaku perlanggaran prosedur dan urusniaga yang menyalahi peraturan sebelum 2008, kita tidak akan teragak-agak untuk menghentikan sebarang urusniaga yang melibatkan tanah tersebut sama ada urusan pindah milik atau penjualan yang sedang dirancang.

"Semakan juga akan dilakukan terhadap semua permohonan pembangunan yang bercanggah dengan matlamat pengambilan tanah tersebut yang dilakukan seawal tahun 1980-an.

"Kerajaan negeri berpandangan bahawa semua urusniaga ini perlu dipandang serius kerana melibatkan dana awam yang datangnya dari wang pencen anggota tentera," kata Faekah.

Tambahnya, siasatan awal menunjukkan tanah di Bukit Raja itu diberimilik kepada Pesuruhjaya Tanah Persekutuan melalui proses pengambilan tanah pada 1980-an untuk dijadikan Tapak Kem 9 Briged.

Katanya, kerajaan negeri akan meneliti semua dokumen berhubung kes berkenaan termasuk dakwaan bahawa tanah tersebut dikatakan telah diberikan kepada syarikat Awan Megah Sdn Bhd yang mana pengarahnya adalah Ketua Wanita Umno Selangor, Senator Datuk Raja Ropiah Raja Abdullah.

"Kerajaan Selangor sangat hairan bagaimana tanah yang telah digazetkan untuk kem tentera boleh diurusniaga secara komersil melainkan dengan arahan dan campurtangan pihak yang benar-benar berkuasa.

"Kerajaan negeri juga akan meneliti samada benar telah berlaku proses jual beli tanah tersebut kepada Raja Ropiah pada harga RM7 kaki persegi atau RM72 juta yang akhirnya Raja Ropiah juga didakwa telah menjual sebahagian daripada tanah di Bukit Raja itu kepada syarikat lain dengan harga RM16 kaki persegi bagi mendapat untung atas angin," katanya.

Dalam perkembangan mengejutkan, Deepak pada hari Khamis lalu menarik balik samannya ke atas Raja Ropiaah atas pertikaian berkenaan dan LTAT seterusnya mengumumkan ia akan membeli syarikat Deepak Astacanggih Sdn Bhd untuk jumlah RM30 juta dan tanah seluas 200 ekar tersebut untuk jumlah RM130 juta daripada syarikat Raja Ropiaah, Awan Megah (M) Sdn Bhd.

Perkembangan itu berlaku selepas Deepak giat melancarkan siri serangan ke atas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak melalui wawancara dengan portal berita tertentu, termasuk Malaysiakini.

Pengarah strategi PKR Rafizi Ramli semalam menyifatkan tindakan LTAT membeli syarikat Deepak dan tanah berkenaansebagai satu tindakan rasuah yang jelas dan mendakwa Menteri Pertahanan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menyalahgunakan dana awam untuk meredakan Deepak dan Raja Ropiaah dan meredakan serangan kepada perdana menteri.

Beliau juga menuntut kerajaan Selangor untuk menghalang urusniaga tersebut, yang digambarkan dalam kenyataan kerajaan negeri hari ini.

Tiada ulasan: