Ahad, 30 Disember 2012

Bekas ahli PAS: Hadi tak berhak letak syarat


MALAYSIA KINI


 
Penulis buku Zainon Ismail berkata presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang tidak berhak meletakkan syarat bagi memberi penjelasan berhubung satu amanatnya pada 1981 yang didakwa mengkafitkan Umno.

Menurut laporan Mingguan Malaysia hari ini, bekas ahli PAS itu berkata syarat yang dikenakan Abdul Hadi itu menunjukkan PAS lebih mengutamakan politik daripada kepentingan akidah umat Islam.

"Kenapa sekarang baru beliau mahu meletakkan syarat? Ketika amanat itu dibuat di Banggol Peradong pada 1981 sehingga menyebabkan kamu mengikut PAS mengkafirkan seluruh ahli Umno serta keluarga sendiri, tiada sebarang syarat dikeluarkan Abdul Hadi.

"Malah ketika berceramah di mana-mana pun beliau tidak meletakkan sebarang syarat tetapi kenapa dalam isu akidah sebegini perlu kepada syarat pula?

"Siapa yang bertanggungjawab mengeluarkan amanat ini? Siapa yang menyebabkan perpecahan ini?," soalnya seperti dipetik akhbar milik Umno itu.

Beliau mengulas kesediaan presiden PAS itu untuk menjelaskan isu amanat tersebut – dengan syarat diberi peluang untuk berbuat demikian menerusi siaran langsung di stesen televisyen tempatan.

Presiden PAS  Datuk Seri Abdul Hadi Awang akan diberi peluang memberi penjelasan mengenai amanatnya yang didakwa mengkafirkan Umno pada 1981, di Radio dan Televisyen Malaysia (RTM).
  
Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim semalam dilaporkan berkata Abdul Hadi perlu memohon kepada kementerian mengenai saluran yang dipilihnya untuk memberi penjelasan itu.
  
"Pihak RTM boleh siarkan kenyataannya sekiranya kandungannya sesuai dan ada nilai berita. Tetapi pada masa yang sama, Abdul Hadi perlu memberi peluang kepada pihak lain memberi pandangan mereka kerana amanatnya ini telah dibuat pada 1981," kata Rais.

MP Shah Alam Khalid Samad pula pada hujung minggu lalu menjelaskan bahawa petikan ucapan Abdul Hadi Awang yang dinamakan sebagai 'Amanat Haji Hadi' tidak pernah sama sekali mengkafirkan mana-mana ahli Umno.

Sebaliknya, Khalid berkata, dakwaan bahawa Hadi mengkafirkan orang Umno menerusi amanat itu adalah "putar-belit media Umno" semata-mata.

"Ia (amanat itu) sebenarnya petikan ucapan Ustaz Hadi yang dinamakan 'amanat' oleh orang yang menyokong PAS dan dijual sebagai poster oleh penyokong atau ahli PAS," kata Khalid.

Tiada ulasan: