Jumaat, 28 Disember 2012

Dua lagi korban banjir di Negeri Sembilan dan T'ganu



 
Dua kematian akibat banjir dicatatkan setakat pukul 10.30 malam ini dengan masing-masing satu di Terengganu dan Negeri Sembilan menjadikan mangsa korban bencana itu meningkat kepada lapan orang.
   
Menurut portal banjir Majlis Keselamatan Negara (MKN), seorang maut akibat lemas di Jelebu, Negeri Sembilan dan seorang lagi di Setiu, Terengganu.
   
Di Terengganu, setakat petang tadi telah meragut enam nyawa iaitu tiga di Kemaman, dua di Setiu dan seorang di Kuala Terengganu.
   
Keadaan banjir di Kelantan dan Terengganu bertambah buruk malam ini apabila jumlah mangsa banjir yang ditempatkan di pusat-pusat pemindahan di dua negeri Pantai Timur itu meningkat kepada 22,609 orang berbanding 21,800 petang tadi.
   
Menurut portal itu, mangsa banjir di Pahang malam ini meningkat kepada 448 orang berbanding 435 petang tadi.

Mangsa banjir di Johor kini kekal seramai 13 orang.
   
Sementara itu di KELANTAN, keadaan banjir pada malam ini
tidak banyak berubah apabila jumlah mangsa banjir berkurangan sedikit kepada 6,809 orang.
   
Menurut portal rasmi kerajaan negeri, jumlah itu merangkumi 2,145 buah keluarga yang telah ditempatkan di 28 buah pusat pemindahan.
   
Jumlah yang dipindahkan di Pasir Mas adalah seramai 4,265 orang, Tumpat (2,329), Kota Baharu (197) dan Pasir Puteh (18).
   
Sungai Golok di Rantau Panjang masih melepasi paras bahaya namun ia semakin menyusut termasuk sungai-sungai utama yang lain.
   
Keadaan cuaca pada malam ini adalah baik.
   
Manakala di TERENGGANU, mangsa banjir di negeri ini meningkat kepada 15,800 orang berbanding 14,894 petang tadi.- Bernama

Tiada ulasan: