Khamis, 27 Disember 2012

PAS cadang serah memo kepada Agong

KL TODAY

 

KUALA LUMPUR: PAS bercadang menyerahkan memorandum kepada Yang Dipertuan Agong, Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah berhubung pendedahan usahawan Deepak Jaikishan. 

Penyerahan itu akan dilakukan jika agensi berkaitan seperti Polis DiRaja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Jabatan Peguam Negara terus membisu dengan pendedahan Deepak tersebut.


Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar, berkata pihaknya memberi masa sehingga dua minggu untuk agensi-agensi terbabit memulakan siasatan terhadap pendedahan yang dilakukan usahawan karpet berkenaan.



“Kita memberi tempoh sehingga dua minggu untuk SPRM, polis dan Jabatan Peguam Negara memberikan respons berhubung pendedahan Deepak ini.


“Jika tidak, kita tidak teragak-agak untuk menyerahkan memorandum ke bawah Yang Dipertuan Agong terhadap ketiga-tiga agensi,” tegas beliau pada sidang media, di Pejabat Agung PAS, hari ini.


Mahfuz berkata pendedahan Deepak itu merupakan satu pendedahan yang bukan sahaja menyentuh maruah perdana menteri, dan keluarga, sebaliknya turut menyentuh maruah negara dan Yang Dipertuan Agong itu sendiri.


Mana siasatan 

Beliau turut membangkitkan persoalan mengapa tiada sebarang respons atau siasatan segera dilakukan terhadap pendedahan Deepak walaupun banyak pihak mendesak untuk melakukannya (siasatan).

 “Saya hairan mengapa di saat kita dikatakan memiliki anggota polis yang cekap, SPRM yang telus, peguam negara yang hebat, dalam hal Deepak ini mereka ini seolah-olahnya telah ‘disemadikan’.
 
“Saya tidak kata apa yang didedahkan Deepak itu benar atau tidak. Sebaliknya ia perlu disiasat segera memandangkan ia bukan satu perkara kecil,” kata beliau lagi.


Dalam pada itu, Mahfuz meminta Deepak membuktikan hubungan rapat yang didakwanya bersama Najib dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor bagi pengetahuan umum.



Katanya, Deepak boleh mendedahkan nombor telefon Najib, mahupun Rosmah kepada umum dan pihak polis agar disiasat segera.


“Deepak mengakui dia mempunyai hubungan yang rapat dengan Najib, Rosmah.  Boleh telefon bila-bila masa.  Jadi, saya minta Deepak buktikan dengan memberi nombor telefon kepada mereka kepada polis dan kemudiannya meminta syarikat telekomunikasi mendapatkan rekod perbualan antara mereka selama ini,” tegas Mahfuz lagi.


Deepak, sebelum ini membuat pendedahan kepada media alternatif mengaitkan penglibatan Najib, Rosmah dan adik Najib berkaitan akaun bersumpah kedua penyiasat persendirian, P. Balasubramaniam.

Tiada ulasan: