Khamis, 27 Disember 2012

Gaji minimum: Stesen minyak tuntut tambah komisen

NIZAM ZAIN

KUALA LUMPUR - Persatuan Pengusaha Stesen Minyak Malaysia (PDAM) menggesa kerajaan mengkaji semula kadar komisen bagi mengurangkan beban pelaksanaan gaji minimum bagi pekerja-pekerja stesen minyak mulai bulan depan.

Presidennya, Datuk Hashim Othman berkata, lazimnya kerajaan akan mengkaji semula kadar komisen setiap lima tahun.

"Kali terakhir kadar itu dikaji semula pada 2008," kata beliau pada sidang media di sini, hari ini.

Kadar komisen yang diluluskan pada tahun 2008 ialah 12.19 sen seliter bagi petrol RON95 dan tuju sen seliter bagi diesel.

Oleh itu katanya, kerajaan sepatutnya berbuat demikian kerana sudah cukup tempoh kadar komisen dikaji semula.

Tambah beliau, PDAM mengharapkan kerajaan dapat mempertimbangkan permohonan mereka dengan memberi kenaikan keuntungan sebanyak 20 hingga 30 peratus.

"Keuntungan sebenar kami hanya bergantung pada jualan RON97 dengan keuntungan sebanyak tujuh sen seliter," katanya.

Mengulas lanjut kadar keuntungan tersebut, beliau berkata, pihaknya telah mengemukakan memorandum kepada Kementerian Kewangan bulan lalu supaya kadar komisen dikaji semula dengan segera.

"Sehingga kini, kami masih belum mendapat sebarang jawapan daripada kerajaan berhubung kadar komisen.

"Kami harap kerajaan dapat pertimbangkan permohonan kami memandangkan pelaksaan gaji minimum nanti akan membebankan kami," katanya.

Ditanya jika kerajaan enggan mengkaji semula kadar tersebut, beliau berkata, pelaksanaan gaji minimum tetap akan diteruskan.

Sebanyak 3,640 stesen minyak di seluruh negara akan melaksanakan peraturan gaji minimum berkuat kuasa 1 Januari.

Beliau berkata, kadar gaji minimum antara RM600 dan RM700 akan ditingkatkan sebanyak RM900 bagi Semenanjung, manakala bagi Sabah dan Sabah adalah sebanyak RM800.

Katanya, pelaksanaan gaji minimum akan menyumbang kepada peningkatan kos pengurusan sebanyak 30 peratus.

Kerajaan sebelum ini menetapkan kadar gaji minimum sektor swasta di mana, bagi Semenanjung Malaysia sebanyak RM900 sebulan atau RM4.33 sejam, manakala bagi Sarawak, Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan sebanyak RM800 sebulan atau RM3.85 sejam.

Dalam pada itu, beliau juga meminta semua pengusaha stesen melaksanakan sistem khidmat layan diri sepenuhnya di stesen masing-masing mulai tarikh yang sama bagi mengurangkan bebanan kos itu.

"Peraturan ini telah sedia ada dan arahan untuk melaksanakannya telah dikeluarkan sejak 2006 tetapi pelaksanaannya terlalu longgar dan ada pengusaha yang tidak mematuhi arahan tersebut," katanya.

Hashim berkata, melalui pelaksanaan sistem layan diri itu, PDAM turut menjangka pengurangan pekerja asing sebanyak 50 peratus.

Sehingga kini, kira-kira 70 peratus daripada 50,000 pekerja di stesen minyak seluruh negara adalah terdiri daripada warga asing.

Tiada ulasan: