Rabu, 26 Disember 2012

Pengawal keselamatan dijatuhi hukuman mati kerana membunuh gadis

THE MALAYSIAN INSIDER

JOHOR BARU – Mahkamah Tinggi di sini hari ini menjatuhi hukuman gantung sampai mati terhadap seorang pengawal keselamatan selepas didapati bersalah membunuh seorang gadis berumur 16 tahun, di sebuah ladang kelapa sawit, Masai, di sini tahun lepas.

Hakim Datuk Abdul Halim Aman menjatuhi hukuman terhadap D.Kalaiselvan, 47, selepas mendapati pihak pembelaan gagal membuktikan kes melampaui keraguan munasabah terhadap pendakwaan.

Kalaiselvan bersama seorang lagi yang masih bebas dituduh membunuh Nur Rahayu Qomarodin, di ladang kelapa sawit Sungai Masai, Jalan Masai-Kong Kong, Masai, antara pukul 2.30 pagi dan 2.50 pagi, 18 Jun 2011.

Dia dituduh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati, jika sabit kesalahan.

Dalam penghakimannya, Abdul Halim berkata tertuduh yang memilih untuk memberi keterangan secara bersumpah menerusi kandang saksi itu gagal memberi penjelasan yang munasabah selain pembelaannya itu bersifat penafian semata-mata.

“Tertuduh menafikan membunuh dan terlibat membakar mangsa dan ini berbeza dengan keterangan saksi iaitu teman lelaki mangsa.

“Tertuduh juga gagal memperjelaskan mengapa dia perlu lari daripada pihak polis dan memindahkan beban kejadian terhadap orang lain, iaitu Ramani dan Siva.

“Tertuduh kemudian tidak memperjelaskan lebih lanjut mengenai Siva dan nama penuh Siva juga tidak diberi.
“Perbuatan kamu (tertuduh) ini amat kejam, tidak berperikemanusiaan serta tidak bertamadun.

“Bagaimana kamu tergamak melakukan perbuatan itu terhadap gadis yang sebaya dengan anak kamu.

“Jadi, mahkamah tiada pilihan lain selain menjatuhi hukuman mati terhadap kamu mengikut peruntukan undang-undang Seksyen 302 Kanun Keseksaan, iaitu gantung di leher sampai mati,” katanya.

Pendakwaan kes itu dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhamad Iskandar Ahmad manakala Kalaiselvan diwakili peguam Mohd Zahar Ngah.

Peguam Khairul Azwad Sariman turut hadir sebagai peguam pemerhati bagi mewakili keluarga mangsa.
Sementara itu, bapa mangsa, Qomarodin Bajuri, 48, yang turut mengikuti prosiding terbabit dilihat menitiskan air mata sejurus hukuman terhadap Kalaiselvan diputuskan. – Bernama

Tiada ulasan: