SINAR HARIAN
KUALA TERENGGANU - Sebahagian benteng Empangan Paya Peda di Besut yang
masih dalam pembinaan terpaksa dipecahkan semalam untuk melepaskan
takungan air demi keselamatan penduduk kawasan sekitar.
Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said berkata meskipun tindakan itu
menyebabkan kawasan sekitarnya dilandar banjir, namun ia terpaksa
dilakukan demi mengurangkan risiko tekanan pada kandungan air berlebihan
di empangan.
Katanya langkah itu dibuat untuk membolehkan air daripada empangan berkenaan dialir keluar secara terancang.
Berikutan tindakan memecahkan benteng empangan itu, banjir melanda
daerah Besut dengan lebih 1,000 penduduk terpaksa dipindahkan setakat
ini, ke pusat pemindahan banjir.
"Empangan ini belum lagi siap dan kandungan air di dalamnya mungkin
belum sampai tahap maksimum. Kita takut tekanan dan air melimpah dan
sebagainya, sebab itu kita terpaksa buat (pecahkan) melibatkan
perunding, kontraktor dan JPS (Jabatan Perparitan dan Saliran),"
katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan majlis
penganugerahan Pingat Emas dan Sarjana Terengganu Yayasan Terengganu
(YT) ke-33 di Dewan Konvensyen Taman Tamadun Islam (TTI) di sini hari
ini.
Ahmad menasihati penduduk di daerah berkenaan agar berwaspada,
bertenang dan sentiasa mengikuti arahan bagi mengelak sebarang kejadian
tidak diingini berikutan pelepasan air daripada empangan itu.
Beliau berkata beberapa kawasan di daerah Besut sering dilanda banjir
setiap kali musim tengkujuh dan bukan disebabkan tindakan melepaskan air
empangan sepertimana yang berlaku sekarang.
"Walaupun empangan ini siap setahun dua lagi, banjir tetap juga berlaku
kerana Besut mempunyai kawasan rendah dan sawah padi. Cuma dengan
adanya empangan, ia (banjir) diharap dapat dikurangkan," katanya.
Empangan Paya Peda yang dibina dua tahun lepas dengan kos RM333 juta dijangka siap pertengahan tahun depan.
Projek itu terletak kira-kira 1.5 kilometer di Hulu Angga Barrage dan 17 kilometer dari Bandar Jerteh.
Apabila siap kelak, empangan seluas 77 kilometer persegi itu bakal
dijadikan kawasan tadahan dan takungan bagi menampung 168 juta meter
padu air untuk tanaman padi dua kali setahun di daerah Besut.- Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan