Rabu, 26 Disember 2012

Zailah guna lori hantar bantuan banjir

Hazayani Zakaria,  


 
KUALA LUMPUR: Pusat Khidmat Masyarakat Parlimen Rantau Panjang mengambil inisiatif mengagihkan keperluan asas kepada mangsa banjir menggunakan lori.

Sejak Kelantan dilanda banjir bermula Isnin lalu akibat air Sungai Golok merentasi Daerah Tanah Merah dan Rantau Panjang melimpah, Ahli Parlimen Rantau Panjang, Siti Zailah Mohd Yusof tidak menang tangan menghulurkan bantuan kepada mangsa yang memerlukan.

Hari ini beliau mengagihkan bantuan mangsa banjir di 18 pusat pemindahan banjir antaranya di Sekolah Kebangsaan Gual Tinggi, Sekolah Kebangsaan Rantau Panjang 2, Sekolah Kebangsaan Kubang Kual, Sekolah Kebangsaan Sri Kiambang dan Dewan Rukun Tetangga Lubok Setol.

"Keadaan banjir di sini masih lagi buruk dan hai ini Parlimen Rantau Panjang sediakan satu lori bekalan makanan seperti beras, telur, sardin, biskut dan lain-lain keperluan termasuk tempat tidur untuk mangsa-banjir di 18 pusat pemindahan," kata beliau ketika dihubungi hari ini.

Beliau yang juga Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat meminta orang ramai berdoa agar tiada sebarang kejadian buruk berlaku sepanjang bencana alam ini.

"Di samping menghulurkan bantuan, marilah sama-sama kita berdoa agar semua urusan dipermudahkan dan tiada kejadian buruk menimpa kita sepanjang menghadapi musim tengkujuh ini," ujarnya.

Sementara itu, Majlis Keselamatan Negara (MKN) melaporkan jumlah mangsa banjir di Kelantan setakat ini ialah 4010 orang.

Manakalan enam jalan masih ditutup kepada kenderaan ringan iaitu Jalan Machang-Pkl Meleret-Wakaf, Jalan Pengkalan Rakit Bata, Jalan Pangkal Meleret-Limau Hantu, Jalan Pangkal Gong - Kemubu, Jln Pasir Mas-Pohon Tanjung-Rantau Panjang dan Jln Cabang 4/Kg Jambu/Meranti.

Tiada ulasan: