Isnin, 31 Disember 2012

Amanat Hadi: PAS perlekeh peluang muncul di TV

Oleh Syed Mu'az Syed Putra

Post Pic

KUALA LUMPUR: Pimpinan kanan PAS memperlekehkan tindakan kerajaan menyahut cabaran presiden parti Datuk Seri Abdul Hadi Awang untuk muncul di televisyen bagi memberikan penjelasan berhubung isu 'mengkafirkan Umno'.
 
Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim berkata Hadi akan diberikan ruang itu tetapi beliau (Hadi) perlu bersetuju untuk diajukan persoalan oleh pakar-pakar mengenai amanat kontroversi itu.
 
Rais berkata program itu juga akan dirakam dan dinilai kesesuaiannya untuk ditayang kepada umum.
 
Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Idris Ahmad membayangkan PAS akan menolak tawaran itu kerana mahukan Hadi memberi penjelasan menerusi TV secara langsung dan tanpa disoal balas oleh mana-mana pihak.
 
"Rais Yatim luculah… (untuk mengatakan) penjelasan Hadi Awang mengenai isu amanat akan dirakam dan akan siar jika sesuai...orang macam Rais memang tak boleh percaya,” kata beliau.
 
Semalam Rais berkata Hadi boleh memohon kepada kementeriannya mengenai saluran yang dipilihnya untuk memberi penjelasan itu.
 
“Pihak RTM di (Radio dan Televisyen Malaysia) boleh siarkan kenyataannya sekiranya kandungannya sesuai dan ada nilai berita. Tetapi pada masa yang sama, Abdul Hadi perlu memberi peluang kepada pihak lain memberi pandangan mereka kerana amanatnya ini telah dibuat pada 1981,” katanya.
 
Sebelum itu, Hadi berkata, beliau sedia menjelaskan isu amanatnya pada 1981 sekiranya beliau diberi peluang untuk berbuat demikian menerusi siaran langsung di stesen televisyen tempatan.
 
Hadi berkata, jika diberi peluang itu, beliau akan menjelaskan segalanya berkaitan amanat beliau mengkafirkan Umno supaya masyarakat dapat menilainya.
 
Bagaimanapun Hadi tidak menjelaskan kenapa beliau hanya mahu memberikan penjelasan itu menerusi TV sedangkan ada banyak saluran lain termasuk media siber untuk beliau berbuat demikian.
 
Bekas Mufti Perlis, Prof Madya Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin berkata, adalah lebih baik sekiranya Hadi membuat penarikan balik secara rasmi amanat itu yang pernah diberikan kepada ahli PAS lebih tiga dekad lalu.
 
Menurutnya, amanat yang berbunyi Umno itu kafir diungkapkan Hadi sewaktu angin kebangkitan Islam kira-kira 30 tahun lalu.
 
“Sungguhpun ahli PAS hari ini sudah tidak mengamalkan amanat tersebut, tetapi Hadi wajar membuat penarikan semula sebagai pencerahan kepada masyarakat,” katanya.

Tiada ulasan: