Ahad, 30 Disember 2012

Umno Perak panik, gelabah sampai tergamak fitnah Tok Guru


Oleh DR KHAIRUDDIN ABD MALIK


Sidang Dun Perak yang terakhir untuk sesi selepas Pilihan Raya Umum Ke-12 berlangsung selama lima hari (17 Disember hingga 21 Disember 2012). Sidang tersebut  mencetuskan banyak pertelingkahan di antara wakil rakyat Umno dengan Pakatan Rakyat.

Bahkan kedua-dua pihak, iaitu "Kerajaan Mahkamah" yang diketuai oleh Dr Zambry Abdul Kadir  dan Pakatan yang diketuai Ir Nizar Jamaluddin telah membentangkan belanjawanmasing-masing untuk membuktikan siapa yang lebih berwibawa mentadbir Perak.

Penulis sendiri terlibat dalam perbincangan persiapan belanjawan Pakatan Rakyat Perak yang mampu memberikan banyak manafaat kepada rakyatk. Belanjawan Pakatan seimbang, manakala belanjawan Umno kekal defisit.

Mungkin ramai yang bertanya, apakah belanjawan Pakatan realistik? Pokoknya, ramai orang tidak mengetahui bahawa Perak adalah negeri yang sangat kaya jika kerajaannya lebih bijak, cekap dan bebas rasuah. Inilah kegagalan UMNO sejak zaman Ramli Ngah Talib hingga kini.

Kerajaan Perak melalui GLC  miliknya pernah memiliki ratusan ribu ekar ladang kelapa sawit, kilang simen dan keuntungan puluhan juta ringgit oleh Lembaga Air Perak (LAP).

Kini sebahagian besar aset rakyat itu tergadai kepada saudagar-saudagar kapitalis yang licik memanafaatkan kecuaian dan kedunguan pemimpin Umno Perak. Antara lain, hanya LAP dan Perbadanan Pertanian (PPNP) sahaja yang masih selamat dan mengisi dana negeri.

Apakah puncanya? Jawapannya dapat dilihat dalam sidang Dun baru-baru ini. Segala-galanya ada kaitan dengan amalan assobiyah Umno yang sangat tebal. Sebab lain adalah pentadbiran mengutamakan kroni dan pembaziran sumber negeri.

Dalam sidang berkenaan, jelas didedahkan bagaimana kerajaan Dr Zambry terlibat dengan kronisma melampau. Ada taukeh China yang dianugerahkan ratusan ekar tanah melalui tiga syarikat berbeda tetapi dimiliki orang yang sama.

Pembantu khas MB pula dianugerahkan projek besar tanpa melalui tender terbuka. Seorang ketua bahagian Umno boleh mengisi pelbagai jawatan politik bergaji besar. Dialah Setpol MB, dia juga lembaga pengarah GLC. Maka kini di kalangan ahli-ahli Umno timbul kebencian kepada kumpulan 4A dalam Umno Perak yang banyak membolot apa sahaja peluang.

Ironinya seorang pemimpin Umno peringkat bahagian menemui penulis melaporkan betapa MB Perak dikelilingi pengendali 'road block' yang meminta hingga puluhan ribu ringgit jika mahukan fail mereka sampai ke meja MB.

Ada pemimpin kanan Umno Perak yang 'mengarahkan' jabatan hutan agar menukar kawasan blok balak yang dianugerahkan kepada kroni beliau supaya diberi blok yang lebih lebat kandungan balaknya.

Namun apabila amalan buruk tersebut didedahkan kepada sidang Dun dan pengetahuan umum, maka jalan selamat mereka adalah membuat tuduhan liar terhadap pemimpin PAS dan Pakatan  Perak. Umno Perak sanggup memfitnah Tok Guru Nik Abd Aziz Nik Mat merasuahkan pemimpin DAP kerana memberi laluan supaya Nizar dilantik MB Perak selepas PRU 2008.

Sejarah tercatat dan semua sedia maklum bahawa pakatan parti-parti pembangkang di Perak telah mengadakan sidang akhbar seawal jam 5 pagi, 9 Mac 2008 (selepas lima jam keputuan pilihan raya diumumkan) untuk mengumumkan pembentukan kerajaan Pakatan dengan calon menteri besar ialah  Adun PAS Pasir Panjang,  Nizar.

Perbincangan mencalonkan Nizar berlaku di antara jam 1 pagi hingga 3 pagi di kalangan PAS dan KeADILan tanpa melibatkan DAP, pada awalnya kerana kedua-dua parti itu tiada hubungan rasmi dengan DAP.

Awal-awal lagi DAP menyedari keputusan memilih MB terserah kepada budi bicara Sultan yang akan memilih seorang Melayu beragama Islam.

Tanpa perlu memberi dan menerima rasuah,  DAP sudah akur mereka tidak mampu membuat apa-apa mengenai jawatan MB. Maka apa perlunya rasuah? Namun sejarah juga tercatat bagaimanaIstana Perak telah mempamerkan kebijaksanaan untuk meminta profil lengkap bakal-bakal calon MB daripada DAP, KeADILan dan PAS. Akhirnya baginda Sultan memilih  Nizar.

 Itu hakikat sejarah yang tak boleh dikelirukan. Kenapa isu perlantikan MB timbul selepas lima tahun?
Adakah Umno mempertikaikan pilihan Sultan Perak yang mengikut undang-undang tubuh negeri Perak?

Namun dalam sidang Dun Perak baru-baru ini, pemimpin Umno  tetap ingin mengajak rakyat supaya percaya kepada "hujah bodoh dan tololnya" itu. Urusan pelaburan projek tanah 10,526 ekar tanah hakmilik Yayasan Islam Kelantan oleh syarikat Upaya Padu Plantatation pada 3 Mei 2006 dituduh sebagai bukti Tok Guru Nik Aziz memberi rasuah kepada pemimpin DAP Perak, Ngeh Koo Ham.

Pilihan raya pada 8 Mac 2008 sedangkan transaksi pelaburan adalah dua tahun lebih awal. Ngeh pula membeli sebahagian saham syarikat tersebut pada bulan April 2012. Membeli  saham tidak menyalahi peraturan kerana beliau  bukan lagi angota Exco dan ia dilakukan melalui amalan perniagaan biasa secara telus.

Ngeh membeli saham syarikat swasta dan bukan mendapat tanah langsung daripada kerajaan Kelantan.
Soalnya, adakah Tok Guru mempunyai keupayaan ilmu malaikat sehingga boleh mengetahui lebih awal dua tahun  sebelum PRU12 bahawa barisan pembangkang akan menumpaskan Umno di Perak?

Saya percaya jika Tok Guru sehebat itu, tentu Tok Guru akan mempastikan yang menang paling banyak kerusi di Perak adalah PAS dan bukan DAP! Hakikatnya Tok Guru adalah manusia biasa.

Cuma simpati penulis kepada pemfitnah Tok Guru di kalangan pemimpin Umno Perak. Sangat besar dosa-dosa anda kerana seramai mana orang yang percaya fitnah tersebut, sebanyak itulah gunungan dosa anda. Akhirat menanti anda dan di sana, baik Umno atau PAS, hanyalah sekadar alat perjuangan, bukannya matlamat.

Akhirnya,  apakah satu kesalahan bagi sesiapa melabur dalam hartanah di Kelantan?  Apakah suatu dosa untuk menjadi kaya? Untuk Ngeh dan rakan-rakan non Muslim, ingin saya berikan suntikan dakwah Islam. Dalam Islam segala-galanya baik dan halal asalkan piawaiannya syariah.

Manusia digalakkan menjadi kaya kerana Rasulullah s.a.w. menyatakan beberapa kelebihan orang kaya yang dermawan. Dalam sejarah panjang Islam, ramai ikon-ikon yang kaya. Siapa Nabi Sulaiman, siapa Saidina Usman dan siapa Abdul Rahman Auf? Mereka semua orang kaya dan juga pemimpin-pemimpin di zaman masing-masing. Berdosakah kerana menjadi kaya?

Cuma dalam Islam, kekayaan adalah anugerah Alah yang perlu dikongsi bersama rakyat miskin dan untuk membantu perjuangan menegakkan keadilan. Hanya Uumno yang tidak suka orang lain kaya kerana bagi mereka hanya Umno, MCA, MIC dan kroni sahaja yang boleh merampas khazanah negara ini

Tinggalkanlah Umno dan mari bersama kebenaran Islam kerana rahmat Islam itu untuk semua.

Dr Khairuddin ialah Setiausaha Pakatan Rakyat Perak

Tiada ulasan: