Sabtu, 29 Disember 2012

NGO buat laporan polis terhadap pegawai kedutaan Sri Lanka

 
Presiden Tamil Progresive Team, A Kalaimughilan mendakwa pegawai berkenaan menghina Malaysia ketika beliau pergi ke kedutaan tersebut semalam.



PETALING JAYA: Presiden sebuah NGO membuat laporan polis terhadap  seorang pegawai tinggi Kedutaan Sri Lanka di Kuala Lumpur kerana mendakwa pegawai berkenaan menghina Malaysia ketika pergi ke kedutaan tersebut semalam.

Presiden Tamil Progresive Team, A Kalaimughilan membuat laporan tersebut di balai polis Pudu, petang semalam.

Menurutnya, beliau membuat laporan polis tersebut kerana mendakwa  pegawai berkenaan telah menghina Malaysia.

Kalaimughilan berkata, beliau membawa tiga pekerja muda warga Sri Lanka yang didakwa didera, pukul dan tidak dibayar gaji serta paspot dipegang  oleh majikannya di Johor.

Bagaimanapun, beliau  mendakwa pegawai tinggi kedutaan Sri Lanka itu telah menghalau beliau dan tiga pekerja berkenaan.

“Pegawai tersebut memberitahu saya, NGO tidak boleh masuk ke kedutaan Sri Lanka. Dia juga berkata tanah ini milik kerajaan Sri Lanka.

“Beliau hanya mendiamkan diri apabila saya berkata, tanah kedutaan itu milik kerajaan Malaysia,” kata Kalaimughilan.

Penjelasan Kedutaan Sri Lanka

Timbalan Pesuruhjaya Suruhanjaya Tinggi Sri Lanka Sunny Vickramasinghe ketika dihubungi berkata Kalaimughilan menceroboh masuk ke dalam kawasan kedutaan.

Kawasan kedutaan mempunyai tahap keselamatan setara dengan negara asing, katanya.



“Kalaimughilan datang bersama bapanya  dan seorang jurugambar. Mereka masuk ke kawasan kedutaan setelah mendakwa bahawa mereka adalah majikan.

“Ini kawasan larangan. Mana boleh mereka ambil gambar. Penyambut tamu pejabat kami turut dikasari,” kata beliau.

Sunny menambah seorang dari tiga pekerja tersebut memohon untuk mendapat status pelarian manakala dua lagi merupakan pendatang haram.

“Sebagai NGO mereka membantu ketiga-tiga mereka untuk membayar denda RM400 di Jabatan Imigresen. Pihak kami sanggup mengeluarkan pas agar mereka boleh pulang,”katanya.

Sunny turut bahawa pihaknya tidak mahu berurusan dengan Kalaimughilan yang mempunyai rekod sebagai penyokong pejuang Tamil Eelam.

Tiada ulasan: