Oleh Aliff Fikri
KUALA LUMPUR : Penyelewengan dan rasuah punca Stadium Sultan
Mizan Zainal Abidin di Gong Badak, Kuala Terengganu dengan kos pembinaan
RM300 juta yang runtuh pada 2009 sehingga kini tidak dibaik pulih.
Pengerusi Majlis Pimpinan KEADILAN Terengganu, Azan Ismail berkata,
stadium tersebut tidak mungkin dibaik pulih semula selagi Umno BN
memerintah negeri itu.
“Stadium
tersebut dibina oleh tiga syarikat kroni kerajaan Umno BN. Nilai
asalnya berjumlah RM191 juta. Kemudian kosnya dinaikkan kepada RM300
juta kerana kononnya akibat kelewatan ia disiapkan.
“Mengapa setelah lebih tiga tahun tidak ada sebarang kerja baik
pulih? Ini kerana mereka telah mendapat durian runtuh hasil keruntuhan
stadium tersebut,” katanya ketika dihubungi.
Menurut Azan, beliau berulang kali membangkitkan isu ketirisan dan pembaziran di Parlimen tetapi tiada sebarang jawapan.
“Banyak negara dalam dunia yang menghadapi malapetaka alam yang
menyebabkan keruntuhan bangunan. Namun laporan hasil siasatan terus
dikemukakan selepas itu untuk menjelaskan puncanya.
“Dalam kes ini, berkali-kali kita minta hasil siasatan, tapi ia tidak pernah diumumkan, walaupun kita tahu hasil siasatan
sudah ada dan ia berpunca dari kelemahan struktur yang tidak mengikut spesifikasi ditetapkan.
“Ini jelas membuktikan kerajaan sememangnya melindungi aktiviti
rasuah, kerana pembaziran adalah keuntungan kepada mereka,” tegas Ahli
Parlimen Indera Mahkota itu lagi.
Azan turut menempelak Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ahmad Shabery Cheek yang bisu berhubung isu keruntuhan tersebut.
“Sebagai seorang menteri dalam hal ehwal sukan yang juga anak
Terengganu, beliau patut prihatin dalam kes ini bukannya mendiamkan
diri.
“Apakah beliau sendiri turut terlibat dalam aktiviti rasuah dan penyelewengan ini? Sebab itu beliau terus diam,” kata Azan.
Stadium yang runtuh pada 2 Jun 2009 itu menyebabkan kira-kira 70 peratus daripada strukturnya musnah.
Stadium
yang dianggap ‘tercanggih’ di Pantai Timur dirasmikan oleh Yang
DiPertuan Agong ketika itu, Sultan Mizan Zainal Abidin pada 10 Mei 2008,
dengan upacara gilang gemilang menandakan ‘impian menjadi kenyataan’
sebagaimana yang dibangga-banggakan oleh bekas Menteri Besar, Datuk
Seri Idris Jusoh.
Malangnya, struktur bangunan itu yang satu ketika dahulu mengacarakan
Sukan Malaysia (Sukma) sebelum ia tumbang, kini dipenuhi lalang dan
semak samun.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan