PUTRAJAYA:
Kementerian Dalam Negeri (KDN) pada Isnin mengesahkan bahawa Mohd Noor
Fikrie Abd Kahar, 26, rakyat Malaysia yang ditembak mati oleh polis di
Davao, Filipina, pada 14 April lalu, merupakan anggota sebuah kumpulan
militan.
Menterinya
Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata lelaki yang berasal dari
Melaka itu dikesan memasuki selatan Filipina pada bulan April lepas,
dan dipercayai mempelajari cara membuat bom ketika berada di negara
berkenaan.
Katanya
anggota keluarga Mohd Noor Fikrie telah meminta bantuan kerajaan
Malaysia untuk membawa pulang jenazah, dan beliau sudahpun mengarahkan
polis supaya menguruskan penghantaran pulang jenazah Mohd Noor Fikrie
dengan segera untuk dikebumikan.
“Ahli
keluarga Fikrie dan beberapa pegawai kita akan ke Davos untuk
menguruskan penghantaran pulang jenazah dalam masa terdekat,” katanya
dalam kenyataan di sini, Isnin.
Hishammuddin
berkata kerajaan Malaysia memandang serius terhadap setiap kegiatan
subversif dan ancaman yang ditimbulkan oleh kumpulan militan serta
penganas kerana ia terbukti mampu menggugat keselamatan dan
ketenteraman sesebuah negara.
“Dalam hal
ini kita sentiasa bekerjasama erat dengan pihak keselamatan dari
negara luar demi memastikan keselamatan negara dan rantau ini, terus
terjamin dan terpelihara,” tambahnya.
Beberapa
media sebelum ini melaporkan Mohd Noor Fikrie ditembak mati oleh polis
Filipina di sebuah hotel di Davao Jumaat lalu, selepas bergelut dengan
pihak polis yang ingin memeriksa beg sandang berisi bom buatan sendiri
dibawa isterinya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan